Salvador Alejandro Llinas Onate

TAOYYUAN – Seorang rakyat Sepanyol yang dalam buruan, diusir oleh Taiwan pada Sabtu telah dihantar kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan Taiwan awal Ahad selepas dihalang masuk ke Singapura, lapor Agensi Berita Pusat (CNA) memetik Agensi Imigresen Kebangsaan (NIA).

Lelaki itu, Salvador Alejandro Llinas Onate, dihalang memasuki Singapura atas alasan dia dikehendaki oleh Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol), kata seorang pegawai NIA kepada CNA.

Oleh kerana Llinas Onate diusir dari Taiwan, dia tidak dibenarkan masuk semula, kata NIA dalam satu kenyataan.

Agensi itu menghubungi negara lain yang bersedia membenarkan Llinas Onate berpindah ke negara ketiga sebelum akhirnya kembali ke Sepanyol untuk menghadapi prosiding undang-undang, katanya.

Buat masa ini, Llinas Onate akan ditempatkan di tempat perlindungan lapangan terbang Taoyuan sebelum pihak berkuasa cuba mengusirnya semula, lapor CNA memetik kenyataan NIA.

Menurut pegawai imigresen Taipei, Llinas Onate yang mengendalikan sebuah syarikat kereta sewa di Trento di utara Itali, dituduh menjual secara haram kira-kira 1,180 kenderaan yang bukan miliknya kepada pihak ketiga pada 2019 sebelum melarikan diri dari Itali ke Taiwan.

Laporan media asing menyatakan Llinas Onate menyewa kereta tanpa membayar sewa dan kemudian menjualnya kepada pembeli yang tidak menyedari penipuan itu.

Melalui skim berkenaan, lelaki berusia 48 tahun itu memperoleh keuntungan kira-kira 30 juta euro (US$32.77 juta), menurut media berita antarabangsa. Firma penyewaan keretanya diisytiharkan muflis pada pada 2019 dan dia hilang tidak lama kemudian.

Dia dikehendaki oleh pihak berkuasa kehakiman Sepanyol dan Itali berhubung kes itu, menurut NIA.

Media berita Taiwan melaporkan Llinas Onate memperoleh penduduk tetap di Taiwan pada 2021 selepas memasuki negara itu melalui visa tanggungan, dan telah menubuhkan lima syarikat di Taiwan, termasuk dua restoran mewah di daerah utama di Taipei.

NIA belum mengeluarkan maklumat lanjut mengenai kes itu atau menjelaskan sama ada mereka sedar Llinas Onate dikehendaki oleh Interpol apabila mereka memberikannya taraf penduduk tetap.

Taiwan bukan ahli Interpol, dipercayai akibat bantahan dari Beijing, yang menentang penyertaannya dalam pertubuhan antarabangsa yang anggotanya lazimnya adalah negara, tambah kenyataan itu. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here