William Ng

KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) meramalkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terjejas dengan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2025.

Presidennya, Datuk William Ng berkata, Samenta mengakui gaji di Malaysia masih rendah, dan lebih perlu dilakukan untuk menaikkan gaji rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, kenaikan gaji minimum yang diumumkan akan mengugat operasi dan daya saing PMKS.

“PMKS di Sabah dan Sarawak khususnya akan menghadapi kesukaran untuk melaksanakan skim gaji minimum ini, dan kita menjangka kehilangan pekerjaan akibat pengumuman baharu ini.

“Ini akan sangat merugikan golongan B40, yang kebanyakannya bergantung kepada pekerjaan separuh mahir kerana ia adalah pekerjaan terawal yang akan dihentikan. Kami menggesa kerajaan untuk memperhalusi kenaikan gaji minimum ini bagi membolehkan negeri-negeri yang kurang maju untuk mengekalkan kadar gaji minimum semasa, atau menghapuskan syarat gaji minimum sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan dis ini.

Menurutnya, di pusat-pusat bandar, seperti Lembah Klang, Johor Selatan dan Pulau
Pinang, gaji median sudah jauh lebih tinggi daripada RM 1,700 yang diumumkan.

Selain kehilangan pekerjaan, kita akan melihat pemampatan gaji yang lebih teruk dalam kalangan M40, dengan pekerja asing menjadi penerima faedah terbesar daripada skim gaji minimum yang disemak semula ini.

Jelas beliau, automasi bukanlah jawapan bagi PMKS yang menghadapi pemampatan margin, yang kini akan menjadi lebih buruk dengan kenaikan gaji minimum.

Banyak perusahaan multinasional (MNE) mengalihkan kerja yang memerlukan tenaga kerja yang ramai kepada PMKS, termasuk tugas-tugas seperti pembersihan, penyelenggaraan, pembungkusan dan logistik.

Bagaimanapun, automasi tidak akan dapat mengatasi keperluan tenaga kerja dalam bidang-bidang berkenaan kerana lebih 80 peratus PMKS berada dalam sektor perkhidmatan, termasuk industri runcit dan makanan serta minuman.

Digitalisasi mungkin mengurangkan keperluan untuk jumlah pekerja, tetapi bukan pengganti mutlak untuk pekerja dalam industri tersebut, ujar beliau.

Selain itu, keperluan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan, cukai dua peratus ke atas dividen akan memberi kesan yang tidak seimbang kepada pemilik PMKS.

‘Kita harus ingat bahawa dalam PMKS, sebahagian besar dividen adalah untuk pemilik PMKS dan bukannya kepada pelabur rawak seperti dalam syarikat tersenarai. Ramai pemilik PMKS tidak mengambil gaji, disebabkan aliran tunai yang ketat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Oleh itu, mengenakan cukai ke atas dividen daripada pendapatan yang sudah dikenakan
cukai bukan sahaja merupakan satu bentuk cukai berganda, tetapi akan menghalang
PMKS daripada mengembangkan perniagaan mereka atau meraih keuntungan yang
lebih tinggi.

“Kami merayu kerajaan untuk mempertimbangkan pengecualian PMKS daripada cukai dua peratus ke atas dividen,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2025, Ng berkata, pembentangan itu menyaksikan satu pencapaian besar apabila Perdana Menteri sekali lagi menurunkan defisit bajet dan memperkenalkan beberapa langkah untuk mengurangkan pembaziran termasuk penggabungan agensi berlebihan, serta melanjutkan pembiayaan bersubsidi dan jaminan kredit untuk PMKS, khususnya RM3.8 bilion untuk automasi dan pendigitalan yang akan membantu PMKS untuk memperbaiki operasi.

Manakala RM650 juta yang diperuntukkan untuk menyokong usahawan wanita dan belia adalah strategi yang inklusif.

Sementara itu, geran padanan sebanyak RM10 juta untuk latihan industri yang akan diuruskan oleh TalentCorp, akan membantu mengurangkan kekangan bakat dalam kalangan PMKS, dan membolehkan lebih ramai mahasiswa dalam jurusan STEM memperoleh pengalaman praktikal. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here