Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi telah memulakan gerak kerja Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga 2025.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, RMK-13 perlu dirangka dengan lebih holistik, strategik dan inklusif.

Katanya, langkah itu adalah bagi mencapai matlamat Ekonomi Madani iaitu menstrukturkan semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Kementerian Ekonomi sedang giat melaksanakan pelbagai sesi libat urus, perbincangan, dialog serta mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) bagi mendapatkan input dan cadangan yang akan diambil kira dalam membangunkan kerangka RMK-13,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai mekanisme dan strategi yang dilaksanakan kementerian itu bagi memastikan program Jelajah Madani Mendengar menjadi wadah terbaik dan berkesan untuk kerajaan mengumpul input dalam usaha merangka pelan RMK-13.

RMK-13 merupakan kesinambungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Menurut Rafizi, Persidangan Permulaan RMK-13 telah dianjurkan dengan kerjasama Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 5 dan 6 September 2024.

“Persidangan ini merupakan platform untuk berkongsi maklumat dan pengalaman daripada pakar tempatan dan antarabangsa mengenai trend mega, isu dan cabaran sosioekonomi, serta strategi yang bersesuaian untuk diambil oleh kerajaan dalam merangka dasar dan hala tuju RMK-13,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya telah melancarkan program Jelajah Madani Mendengar bermula dari September sehingga Disember 2024.

“Program ini merupakan mekanisme dan strategi bagi mendapatkan input dan pandangan daripada semua lapisan masyarakat berhubung dasar dan aspirasi baharu yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam RMK-13.

“Pelaksanaan program ini melibatkan semua kerajaan negeri, pihak swasta dan pemain industri, akademia dan mahasiswa, pertubuhan masyarakat sosial (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam,” ujarnya.

Sementara itu, Rafizi berkata, usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dalam negara sentiasa menjadi tonggak dasar kerajaan Madani dengan tumpuan itu diselaraskan dalam semua bentuk pelaksanaan kerajaan.

Sebagai contoh beliau berkata, peruntukan perbelanjaan dalam pembangunan diberikan lebih kepada kawasan yang kurang membangun, selain jumlah penerima dalam program peningkatan pendapatan keluarga, basmi kemiskinan atau bantuan tunai turut diberikan lebih kepada penerima di kawasan berkenaan.

Katanya, melalui RMK-13 yang akan dibentangkan pada suku ketiga tahun depan, kerajaan mahu memastikan penilaian dan perangkaan dasar itu tidak dilihat daripada perspektif makro semata-mata dalam kalangan pemegang taruh pembuat dasar, tetapi turut membabitkan penerima bantuan serta program.

“Kita mahu mendengar sendiri daripada kumpulan penerima… contohnya nelayan, mahasiswa atau anak muda di luar bandar untuk membangunkan bentuk program yang betul-betul berkesan dan tiada ketirisan.

“Justeru, melalui Jelajah MADANI Mendengar dari September hingga Disember ini, saya harap kita akan mendapat maklumat langsung daripada penerima dan pemegang taruh program, yang akan memberi perspektif makro bagi membolehkan RMK-13 bukan saja betul tapi program pelaksanaannya tepat kepada kekangan dan keperluan penerima,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai strategi kerajaan untuk merapatkan jurang sosial ekonomi antara negeri dan lokaliti, selain mengambil kira taburan wilayah ekonomi bagi aktiviti ekonomi utama, seperti yang disyorkan dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebelum ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here