Chang Lih Kang.

BAYAN BARU – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melahirkan rasa puas hati terhadap peningkatan signifikan diperuntukkan bagi Penyelidikan bagi Pembangunan (R&D) menerusi Belajawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, peningkatan itu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kemajuan teknologi dan inovasi negara.

“Seperti yang saya selalu tekankan, bajet adalah perkara terpenting bagi MOSTI dan kali ini kami melihat peningkatan ketara bagi sektor R&D apabila peruntukan telah meningkat daripada RM510 juta pada tahun ini kepada RM600 juta untuk tahun depan.

“Kalau kita lihat bajet kementerian lain dikurangkan namun bagi MOSTI kita kekal dengan peruntukan RM1.2 bilion selain diperuntukan tambahan untuk R&D.

“Peruntukan R&D yang akan dikongsi bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu membukti kerajaan sangat serius untuk membina ekosistem R&D yang lebih dinamik bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing dalam bidang inovasi dan teknologi,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Lih Kang meninjau reruai di Simposium Antarabangsa Biopolimer ke-19 (ISBP 2024) yang berlangsung di SPICE Arena, Pulau Pinang hari ini.

Tambah beliau, langkah ini akan membawa impak jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara, yang mana pelaburan dalam R&D akan memacu inovasi yang mampu membawa negara ke persada antarabangsa.

Terdahulu Lih Kang merasmikan Simposium Antarabangsa Biopolimer ke-19 (ISBP 2024) yang bertemakan “Ke Arah Biopolimer Selamat dan Mampan untuk Masa Depan Kita”.

ISBP yang julung kali berlangsung di Asia Tenggara melibatkan penyertaan daripada 33 negara itu dianjurkan Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Institut Bioteknologi Negara Malaysia (NIBM) dan Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (BEC).

Sebelum ini, Lih Kang dilaporkan berkata, peningkatan pelaburan dalam R&D amat penting bagi mencapai sasaran Malaysia untuk berada dalam kedudukan 30 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025.

Is susulan Malaysia kini menduduki tangga ke-33 dalam GII 2024, meningkat tiga tangga selepas kekal di kedudukan ke-36 selama tiga tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2023.

Katanya, antara perkara dalam GII yang perlu ditambah baik ialah meningkatkan pelaburan dalam R&D, yang ketika ini mencatatkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) pada kadar satu peratus sahaja. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here