Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki warga asing mematahkan pengelap cermin belakang di Terminal Bas Batu Pahat, Batu Pahat, semalam

BATU PAHAT – Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana melakukan perbuatan khianat dengan mematahkan pengelap cermin belakang beberapa buah kenderaan, di sini, semalam.

Difahamkan orang awam yang melihat kejadian tersebut merakam perbuatan lelaki asing itu sebelum videonya tular dalam media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Aisisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek yang 25 tahun ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Siasatan mendapati video tular berkenaan berlaku di kawasan sebuah parkir berhampiran Terminal Bas Batu Pahat, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

“Semasa pemeriksaan dilakukan ke atas suspek selepas ditahan, pihak polis menemui sebilah pisau lipat dalam beg sandang milik suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya ke tempat awam.

Selain itu ujarnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Terdahulu tular video berdurasi 16 saat dalam TikTok memaparkan perbuatan lelaki terbabit yang mengundang keresahan orang ramai dan meminta pihak berkuasa menahan si pelaku.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here