Hari kedua Operasi Carilamat (SAR) seorang lelaki yang disyaki lemas selepas terjun ke Sungai Belat dari Jeti Batu 3, Kampung Kurnia, Kuantan hari ini

KUANTAN – Lelaki yang disyaki lemas di Kampung Kurnia, di sini dipercayai terjun bersama rakannya ke dalam sungai kerana menyangka dihampiri sebuah kenderaan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, rakan mangsa bagaimanapun selamat kerana sempat berpaut kepada sebuah kapal yang berlabuh di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu

“Kalau mengikut keterangan saksi di lokasi kejadian, mangsa dan rakannya berada di tebing di kawasan kejadian telah terjun kerana menyangka kenderaan yang melalui kawasan dia berada tu adalah pihak polis.

“Apa-apa pun kita masih lagi dalam siasatan untuk mengetahui punca sebenar mangsa mengambil keputusan untuk terjun ke dalam sungai,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pada Sabtu lepas dan mengaktifkan Operasi Carilamat (SAR) semalam pada pukul 11 pagi meliputi kawasan seluas empat kilometer.

Dalam operasi terbabit, seramai 25 anggota terdiri daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah digerakkan.

Sementara itu, Ketua Zon 1, JBPM Pahang, Syobirin Abdul Kadir memberitahu pihaknya belum menemui sebarang petanda lokasi mangsa yang disyaki lemas itu.

Ketua Zon 1, JBPM Pahang, Syobirin Abdul Kadir

“Hari ini, kita dapat bantuan dua ekor unit anjing pengesan K9, beserta bot dan kelengkapan dan akan perluas pencarian di permukaan untuk mengenal pasti di mana hotspot yang sebetulnya untuk kita buat kaedah selaman.

“Setakat ini kita tak dapat lagi sebarang petunjuk kita sejak jam 8 pagi,” katanya.

Terdahulu, JBPM Pahang semalam memaklumkan seorang lelaki berusia 45 tahun dipercayai lemas dalam kejadian pada pukul 11 pagi Sabtu lepas setelah terjun ke dalam sungai ketika berada di Jeti Batu 3 di Kampung Kurnia, di sini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Bomba guna khidmat Frankie dan Pop cari mangsa lemas

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here