Dr Mohammad Aswad (tengah) melihat kelengkapan peralatan banjir dalam program latihan menghadapi banjir di Parit Karjan, Sri Medan, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Penglibatan sukarelawan amat diperlukan dalam membantu pihak berkuasa di kawasan banjir di daerah ini yang sudah pun bermula.

Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, peranan mereka sebelum ini memberi kesan dalam membantu pasukan keselamatan semasa banjir.

Pemuda UMNO Johor katanya, akan memberi bantuan dalam bentuk pendedahan misi bantuan kepada sukarelawan yang akan turun ke kawasan dilanda banjir.

“Taklimat pengurusan dan pengendalian bot turut diberikan sebagai persiapan dan langkah awal dalam memberi bimbingan kepada sukarelawan.

“Berdasarkan pengalaman banjir di Batu Pahat pada awal tahun lalu, menyaksikan banyak kawasan terjejas dan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), bantuan sukarelawan amat diperlukan.

“Oleh itu, Pemuda UMNO negeri bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersedia menghadapi musim banjir dengan menyediakan pasukan sukarelawan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong berkata demikian ketika ditemui dalam program latihan banjir di Jeti Parit Karjan, Sri Medan di sini hari ini.

Mohamad Aswad berkata, seramai 70 peserta termasuk sukarelawan Southern Volunteers akan menyertai taklimat yang dikendalikan Persatuan Nelayan Batu Pahat.

Taklimat itu ujarnya, memberi pendedahan, cara-cara mereka berdepan banjir termasuk pengurusan dan keselamatan dalam kendalikan bot.

“Pendedahan yang cukup baik kpd persatuan dan sukarelawan ini agar mereka boleh turun padang hulur bantuan dengan selamat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pejabat Daerah Batu Pahat dan agensi keselamatan dan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis turut mengadakan latihan menghadapi bencana banjir di jeti terbabit.

Sebelum ini mangsa banjir paling lama menetap di PPS adalah dari daerah ini iaitu lebih 10 hari sebelum ditutup secara rasmi Khamis lalu.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here