Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki kerugian RM87,479 selepas tertarik tawaran keuntungan sehingga 80 peratus melalui pelaburan saham tidak wujud bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 52 tahun, semalam.

Beliau berkata, mangsa mendakwa semuanya bermula apabila menerima satu pautan Whatsapp daripada sebuah syarikat pada kira-kira pukul 6.30 petang 12 Ogos lalu.

“Mangsa menerima Whatsapp itu daripada wakil Syarikat Boci Club Members menggunakan talian 014-7381527 yang mana wakil itu memperkenalkan diri sebagai Mandy.

“Menawarkan pelaburan mengenai IPO saham dengan menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 80 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan bersetuju membuat pelaburan itu dan telah melakukan dua transaksi ke dua akaun berbeza yang diberikan.

Mangsa ujarnya, melabur pada 13 September hingga 15 Oktober lalu dengan jumlah keseluruhan modal sebanyak RM87,900.

Sepanjang tempoh pelaburan itu katanya, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM421.

Menurut beliau, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila dia diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM15,000 bagi tujuan pengeluaran wang keuntungan itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Balveer Singh berkata, siasatan juga akan dibuat dalam melihat pembabitan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya lebih cakna dengan trend semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga dinasihati supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan atas talian yang menjanjikan kaedah yang mudah serta komisen yang tinggi.

“Gunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) seperti Semak Mule, CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599.

“Perkhidmatan lain yang boleh digunakan seperti CCID Infoline, Facebook JSJK PDRM dan Facebook BSJK PDRM serta Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

Langkah itu katanya, bagi mendapatkan maklumat berkaitan jenayah komersial sebelum membuat sebarang transaksi bayaran kepada pihak lain. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here