Dr Mohd Mazri Yahya
Dr Mohd Mazri Yahya

JOHOR BAHRU – Terma tidak masuk akal seperti mahakaya tidak wajar digunakan sebagai alasan untuk menarik subsidi petrol RON95 daripada golongan T15.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, kerajaan tidak sepatutnya menghukum golongan T15 yang merujuk kumpulan isi rumah berpendapatan tertinggi.

Jelasnya, golongan tersebut selama ini tidak menerima banyak subsidi dan menerusi Belanjawan 2025 mereka dikecualikan pula daripada menerima subsidi petrol RON95.

Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Bahru itu merasakan golongan T15 sudah cukup dihukum sedangkan mereka banyak berjasa dengan membayar cukai kepada negara.

“Bukan sekadar bantuan subsidi tertentu, kemasukan anak ke sekolah dan universiti, tarif elektrik dan sekarang penggunaan minyak petrol pula.

“Tidak salah untuk menyumbang kembali kepada rakyat yang tidak berkemampuan terutama pada masa yang memerlukan tetapi jangan gunakan terma-terma yang tak masuk akal seperti golongan mahakaya dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jumaat lalu, semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15.

Pengkelasan terbaharu itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak kerana tiada penjelasan terperinci daripada kerajaan mengenai julat pendapatan yang akan diletakkan dalam kategori T15.

Justeru, beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pas Pusat memberikan beberapa cadangan mekanisme pembelian petrol RON95 yang bakal diberikan kepada golongan bukan T15.

“Cara pertama, beli minyak dahulu dengan harga pasaran untuk semua rakyat Malaysia dan kemudian memohon ‘reimbursement’ daripada kerajaan bagi 85 peratus rakyat yang layak.

“(Bagaimanapun) Cara ini akan lebih menyusahkan rakyat dan memerlukan pekerjaan tambahan kepada pegawai kerajaan yang menguruskan,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan boleh menggunakan kad subsidi kepada 85 peratus rakyat Malaysia yang layak dengan had siling penggunaan.

Menurut Mazri, kad itu boleh digunakan bukan hanya untuk petrol, tetapi semua bantuan subsidi kerajaan, permohonan biasiswa, bantuan kewangan dan sebagainya.

Cara demikian ujarnya, mungkin akan menyusahkan pada permulaan pelaksanaan tetapi memudahkan pada hari kemudian.

“Cara ketiga dengan menggunakan kad pengenalan ketika membeli minyak. Ini akan menyusahkan pembeli minyak dan operator minyak dan kemungkinan disalah guna.

“Ada sebahagian T15 menggunakan perkhidmatan pemandu yang boleh sahaja menggunakan kad pengenalan mereka (pemandunya) ketika membeli minyak,” katanya.

Sementara kaedah keempat pula katanya, dengan cara pembelian minyak petrol seperti mekanisme pembelian diesel dengan semua membayar pada harga sama, tetapi kerajaan memberi bayaran subsidi kembali melalui Budi Madani contohnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here