KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan ditagih untuk mengemukakan data bagi menunjukkan jumlah pelabur yang berjanji akan melabur sekiranya ingin melaksanakan gaji minimum.
Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu memainkan peranan dengan membuktikan jumlah pelabur yang akan memasuki negara ini setelah dasar itu dilaksanakan pada Februari tahun hadapan.
“Saya nak tegaskan, sekiranya perlaksanaan gaji minimum tidak ditangani dengan baik, akan memberi kesan yang buruk kepada peningkatan inflasi.
“Akibatnya, para pekerja bukan sahaja tidak dapat menikmati hasil peningkatan pendapatan, malahan menerima kesan daripada kenaikan kos sara hidup.
“Saya tidak dapat menerima kenyataan dari Tengku Zafrul, kenyataan ini seolah-olah ingin membodek bosnya. Kenyataan ini harus disertakan dengan data lengkap bagi menunjukkan keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dominic berkata demikian mengulas kenyataan Tengku Zafrul bahawa terdapat pelabur yang berjanji akan melabur sekiranya kerajaan melaksanakan gaji minimum.
Mengulas lanjut, Dominic berkata kenyataan Tengku Zafrul boleh dilihat seperti melakukan ‘ugutan’ daripada pelabur tanpa mengira keadaan ekonomi semasa dalam negara.
“Oleh itu, Tengku Zafrul seharusnya menunjukkan bukti, berapakah jumlah sebenar pelabur yang menyokong usaha kerajaan,” katanya.
Menurutnya, daripada maklumat yang diterima, langkah mewajibkan pekerja asing mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perlaksanaan gaji minimum akan memberi kesan kepada peningkatan kos pengusaha IKS.
Jelas Dominic, kerajaan perlu mencari mekanisme yang lebih baik agar pekerja dan majikan berada dalam situasi ‘sama menang’.
Beliau memetik kenyataan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), langkah mewajibkan pekerja asing mencarum dalam KWSP dan pelaksanaan gaji minimum akan menyebabkan pengusaha industri pembuatan menanggung pertambahan kos gaji sebanyak 27 peratus.
“Ini belum termasuk dalam subsidi bahan api bersasar dan peningkatan cukai SST dan kos lain.
“Tambahan pula, Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Singapura sudah tidak membenarkan pekerja warga asing untuk mencarum, kenapa kerajaan Malaysia mengambil langkah ke belakang?, soal Dominic.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari depan dan 1 Ogos 2025 kepada majikan atau usahawan kecil yang mempunyai lima orang pekerja ke bawah. – MalaysiaGazette