Hashem Safieddine dan Mufti Besar Jaafari Ahmad Qabalan - AFP/ ANWAR AMRO

TEL AVIV- Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan kematian pemimpin kanan Hizbullah, Hashem Safieddine selepas jenazahnya ditemukan di sebuah kubu di mana beliau dibunuh tiga minggu lalu.

Hashem merupakan salah seorang calon pengganti kepada Hassan Nasrallah, terkorban bersama 25 individu lain di ibu pejabat kumpulan perisik pejuang tersebut di Dahieh, Beirut.

Menurut laporan Al-Arabiya, antara yang terbunuh adalah beberapa komander perisikan Hizbullah termasuk Bilal Saib Aish yang ditugaskan mengumpulkan maklumat di ibu pejabat Hizbullah di Syria serta Ali Hussien Hazima, komander risikan di ibu pejabat Hizbullah.

Kematian beliau dianggap sebagai kekalahan terbaharu kumpulan pejuang tersebut.

Sejak beberapa minggu lalu, Hizbullah kehilangan ramai pemimpin tentera dan politiknya.

Namun begitu, kumpulan tersebut tidak patah semangat untuk terus melancarkan serangan terhadap wilayah Israel termasuk bandar-bandar seperti Haifa dan Tel Aviv.

Hashem yang merupakan sepupu kepada Hassan Nasrallah dianggap sebagai membawa pengaruh besar dalam organisasi tersebut, kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

“Selama bertahun-tahun, beliau mensasarkan serangan terhadap Israel dan terlibat dalam proses membuat keputusan Hizbullah,” tambahnya.

Sementara Hassan Nasrallah fokus terhadap kumpulan bersenjata Hizbullan dan hubungan strategiknya, Hashem yang diletakkan dalam senarai pengganas AS sejak 2017, bertanggungjawab terhadap sistem pendidikan, kewangan dan pelaburan asing Hizbullah.

Ini merupakan sebab mengapa Hashem mempunyai hubungan rapat dengan Iran selaku pendukung ekonomi kumpulan pejuang berasal dari Lubnan itu.

Selain itu, abang beliau, Abdullah merupakan duta Hizbullah di Iran. -Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here