Mohd Dawisy yang melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik kembali ke sekolah selepas setahun. Gambar ihsan keluarga.

BAYAN LEPAS – Remaja yang melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengambil bola di Jalan Kampung Bukit di sini, setahun lalu, kini kembali ke sekolah.

Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 13, mula sesi persekolahannya minggu lalu selepas hampir setahun tergendala susulan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ibunya, Suhana Samsudin, 38, berkata, anak bongsunya itu kelihatan bersemangat memulakan sesi persekolahan walaupun sedikit malu dengan keadaan kulit tangannya.

“Syukur, kesihatannya semakin baik. Walaupun malu bergaul kerana keadaan kulit, warga sekolah dan rakan-rakan memberi sokongan kepadanya.

“Bagi menjaga keadaan dan kesihatan kulit, Mohd Dawisy Zarif perlu memakai pakaian khas yang turut menutupi tangannya ketika berada di luar rumah,” katanya.

Artikel berkaitan: Budak melecur kena renjatan elektrik jalani pembedahan hari ini

Mama tolong adik sakit, rasa panas – rengekan mangsa renjatan elektrik

Tambah Suhana, selepas menjalani lebih enam kali pembedahan, Mohd Dawisy masih memerlukan penjagaan rapi termasuk memakai pakaian khas yang melindungi kulitnya.

“Meskipun kedua-dua tangannya masih lemah namun dia kini kembali aktif bermain bola bersama rakan-rakan serta abang kembarnya.

“Sebelum ini dia trauma atas apa yang menimpa dirinya tetapi kini dia sudah boleh terima keadaan dirinya.

“Alhamdulillah, Allah mendengar luahan kami dan terima kasih atas doa yang dititipkan buat anak saya,” katanya.

Terdahulu, pemilik akaun di TikTok yang mendakwa sebagai ibu saudara kepada Mohd Dawisy Zarif memuatnaik video memaparkan remaja itu sudah kembali ke sekolah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here