Mohd Khairi dan isterinya, Suhana menunjukkan gambar Mohd Dawisy Zarif (kiri) serta kembarnya yang disimpan dalam telefon bimbit mereka ketika ditemui di ICU Hospital Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – “Mama tolong adik sakit, rasa panas. Masih terngiang-ngiang kata-kata dia merengek kesakitan ketika kami dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.”

Demikian luah Suhana Samsudin, 37, ibu kepada Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 12, yang melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengambil bola yang dikatakan memasuki kawasan bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Sri Bayu di sini semalam.

Menurut Suhana, ketika kejadian dia berada di tempat kerja yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi insiden itu manakala suaminya yang merupakan penjawat awam sedang bertugas di Lumut, Perak.

Suhana (kiri).

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak bongsunya itu menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira 5 petang sebelum dihubungi kenalan.

“Saya bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, saya lihat dia dibawa keluar dari bilik jana kuasa itu oleh jiran dan Mohd Dawisy Zarif masih boleh berjalan sambil memanggil ‘mama’ serta mengadu kepanasan.

“Kami berdua kemudian dibawa ke dalam surau berhampiran dan diberi rawatan awal oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebelum dihantar ke HPP,” katanya ketika ditemui pekarangan Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP di sini hari ini.

Mohd Dawisy Zarif (kiri) merupakan pasangan kembar serta anak bongsu daripada tiga beradik.

Tambah Suhana, ketiga -tiga anaknya termasuk kembar kepada Mohd Dawisy Zarif sudah biasa ditinggalkan di rumah ketika dia dan suami keluar bekerja.

“Boleh dikatakan hobi anak lelaki saya akan bermain bola bersama rakan di kawasan perumahan itu pada waktu petang tapi dalam kejadian semalam, kembar kepada Mohd Dawisy Zarif tidak bermain bersama kerana tidur,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Khairi Abdul Ghani, 38, berkata, Mohd Dawisy Zarif disahkan melecur sehingga 50 peratus pada bahagian badan hingga terpaksa ditidurkan.

“Mohd Dawisy Zarif ditidurkan sejak dimasukkan ke hospital semalam dan doktor mengesahkan dia mengalami kira-kira 50 peratus terbakar (melecur) di bahagian hadapan (badan).

Mohd Khairi.

“Keadaan anak saya kritikal dan dia menggunakan alat bantuan pernafasan buat masa ini.

“Doktor juga tidak boleh memberi kami tempoh berapa lama dia akan ditidurkan susulan semua itu bergantung kepada tindak balas (ketika dirawat),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Budak 12 tahun melecur seluruh badan kena renjatan elektrik

MalaysiaGazette semalam melaporkan kanak-kanak itu melecur hampir seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa TNB di Taman Sri Bayu di sini.

Kejadian berlaku ketika mangsa dikatakan memasuki fasiliti milik TNB itu bagi mengambil bola miliknya dari dalam premis berkenaan.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu turut menerima kunjungan prihatin daripada wakil TNB Pulau Pinang bagi mendapatkan perkembangan mangsa. – MalaysiaGazette