BAYAN LEPAS – Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun melecur seluruh badan selepas terkena renjatan elektrik dari bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Sri Bayu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.55 petang itu, mangsa, Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi dikatakan masuk ke bilik jana kuasa terbabit untuk mengambil bola yang dikatakan terjatuh ke dalam kawasan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, mangsa mengalami kecederaan itu selepas tersentuh dengan perkakasan elektrik di dalam bilik jana kuasa elektrik TNB.

Pihak bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang oleh Angkatan Pertahanan Awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Pasukan operasi telah membuat pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian bagi memastikan kawasan itu selamat dan menyerahkan kepada pihak TNB untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi tamat jam 5.43 petang tadi.

Lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal mengesahkan kejadian dan memaklumkan mangsa memasuki kawasan itu bagi mengambil bola. – MalaysiaGazette