MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik bersama Universiti Peking yang merupakan universiti terbaik di China bagi meluaskan hubungan di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, kerjasama ini secara langsung telah mengukuhkan hubungan erat antara dua negara Malaysia dan China.
Katanya, kerjasama ini turut menzahirkan kepercayaan dan keterujaan pihak Universiti Peking terhadap UTeM yang terus menyerlah sebagai Universiti TVET terbaik di Malaysia.
Mengupas tentang pengisian kerjasama ini, Massila berkata, kerjasama ini membuka ruang penerokaan dan perkongsian kepakaran bersama yang akan memberikan impak langsung di pentas dunia pendidikan tinggi antarabangsa.
“Kerjasama ini tentunya turut akan mengukuhkan lagi dimensi kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan mahasiswa termasuklah program penyeliaan bersama kedoktoran dan ijazah sarjana bagi dua universiti ini.
“Di samping itu, perspektif mobiliti pelajar dan pelaksanaan program-program berimpak bersama turut menjadi tumpuan untuk direalisasikan sekali gus menyemarakkan persilangan budaya antara dua negara,” katanya lagi sempena MoU antara UTeM dan Universiti Peking yang berlangsung di Kampus Induk
UTeM, Durian Tunggal.
Universiti Peking berada pada kedudukan kedua di negara berkenaan manakala berada pada kedudukan ke 14 terbaik di dunia merujuk sumber daripada Times Higher Education. – MalaysiaGazette