Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata orang ramai tidak bersetuju dengan cadangan kos yuran tadika dan taska yang dijang naik menjelang Februari tahun hadapan. Dari kiri Aisyah Zaili, Shuhaida Ruslam, Mohd Fazli Shamsudin

KUANTAN – Jangkaan kenaikan kadar yuran pusat jagaan kanak-kanak (taska) antara 15 hingga 30 peratus tahun depan susulan peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,700 seperti diumumkan kerajaan dalam belanjawan baru-baru ini menakutkan ibu bapa.

Kenaikan ini cukup menggusarkan kaum ibu terutama mereka yang berpendapatan sederhana dan memiliki lebih daripada seorang anak yang perlu dihantar ke taska.

Seorang ibu kepada tiga orang anak, Shuhaida Ruslam, 39, berkata, unjuran kenaikan yuran taska pada tahun depan, pastinya membebankan kedudukan kewangannya.

Katanya, dengan kos sara hidu yang tinggi di bandar, kenaikan yuran taska pastinya menambah beban.

“Sekarang ni hantar tiga orang anak, bayaran taska anak pun hampir gaji asas, rasa tak berbaloi. Jadi bila dicadangkan nak naik lagi kos mengasuh ni sampai 25 peratus maka memang tidak wajar kepada kami yang bekerja dengan pendapatan kecil ni.

“Gaji habis bayar mengasuh anak ke taska sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lantaran itu, beliau menjangkakan kenaikan yuran taska nanti akan mendorong lebih ramai ibu-ibu berhenti kerja dan jaga anak sendiri kerana tidak mampu membayar pengasuh.

“Bukan itu sahaja, kos sara hidup yang tinggi membuatkan ramai berfikir dua kali untuk bekeluarga serta memiliki anak yang ramai,” ujarnya.

Bagi suri rumah pula, Nazli Abu Bakar, 51, kenaikan yang dijangkakan amat tinggi, justeru perlu ada campur tangan kerajaan dalam menangani kebimbangan ibu bapa.

“Mungkin perlu ada kajian menyeluruh dalam pelaksanaan gaji minimum bagi pekerja-pekerja taska,”

“Hakikatnya, kita tidak boleh menyalahkan pengusaha taska sebab kenaikan gaji diumumkan oleh kerajaan dan mereka kena akur.

“Tetapi, bila umum kenaikan gaji, implikasinya besar kerana implikasinya saling berkait,” tambahnya.

Menurut Nazli, apapun kenaikan ini pastinya memberi tekanan kepada pasangan muda yang baharu bekerja dan mempunyai anak.

Dari segi lain, walaupun Kadar bayaran dikenakan tinggi tetapi belum menjami keselamatan anak-anak mereka,” tambahnya yang terpaksa berhenti kerja kerana kos membayar pengasuh sama besar dengan gaji.

Sementara itu bagi peniaga, Muhammad Fazli Shamsuddin, 36, berpendapat pengumuman gaji minumum RM1,700 pada Belanjawan 2025 sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk menaikkan kadai yuran taska dan tadika.

Oleh itu, Fazli berharap kerajaan dapat mengawal harga yang ditetapkan oleh para pengusaha supaya tidak bermain harga sama ada di kawasan bandar ataupun luar bandar.

“Tahun depan saya akan hantar anak sulung ke taska mesti akan terasa bila kos yuran taska naik 25 peratus. Tapi demi anak memang hantar juga.

“Bagi saya kenaikan itu tinggi, kalua ada seorang tidak mengapa, yang anak ramai macam mana?,” katanya yang juga mengakui terkesan dengan kenaikan harga barang.

Aisyah Zaili, 32, pula memahami kenaikan yang bakal dibuat oleh pengusaha taska dan tadika, apatah lagi pendapatan pekerja ini juga tidak besar mana.

“Tapi pada masa sama ibu bapa juga terbeban jika dinaikkan terlalu drastik. Oleh itu saya cadangan agar kenaikan dibuat biar munasabah.

“Keadaan ini boleh membantu kedua-dua pihak – pemilik taska dan tadika serta ibu bapa.

Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia, Simon Ng sebelum ini memberitahu, penambahan kos operasi industri penjagaan kanak-kanak akan meningkat dengan ketara selepas kadar gaji baharu itu dikuatkuasa Februari tahun depan.

Kenaikan itu diramalkan antara 20 hingga 25 peratus bagi memastikan industri perkhidmatan, penjaga dan kakitangan pusat jagaan kanak-kanak, adalah penting untuk mereka menerima pulangan gaji yang adil.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri mengumumkan gaji minimum dinaikkan sebanyak RM200 kepada RM1,700. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast