Fadhlina (tengah) merasmikan Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Pulau Pinang hari ini.

 

NIBONG TEBAL – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan program KV Insani dan Karnival Pendidikan Madani yang dianjurkan hari ini dapat memperkukuh hubungan antara komuniti dan institusi pendidikan.

Jelas beliau, program ini bertujuan untuk mendekatkan komuniti dengan sekolah serta memperkenalkan program-program Kolej Vokasional (KV) kepada masyarakat, khususnya ibu bapa.

“Alhamdulillah, hari ini kita menyaksikan satu program yang kita sedang giatkan untuk lebih banyak dilaksanakan di peringkat sekolah dan komuniti.

Fadhlina Sidek.

“Kita percaya menerusi melalui pameran dan ekshibisi sebegini dapat menonjolkan kemahiran dan kepakaran pelajar KV sekali gus dapat menggalakkan masyarakat untuk mendekati program Teknologi Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, khususnya KV.

“Selain itu, pelajar KV juga menggunakan kemahiran mereka untuk menyumbang kepada masyarakat menerusi program seperti pembaikan rumah, pemasangan penghawa dingin di surau dan masjid,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini, hari ini.

Zulkernai.

Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Zulkernai Fauzi pula berpendapat, program ini selaras dengan konsep pendidikan manusiawi yang diterapkan melalui Kolej Vokasional di mana pelajar-pelajar dibawa ke komuniti untuk melaksanakan program khidmat masyarakat.

“Selari dengan konsep karamah insaniah yang menerapkan adab, akhlak dan integriti yang memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Pelajar-pelajar daripada lima kolej vokasional dan sebuah sekolah menengah teknik di Pulau Pinang terlibat dalam khidmat komuniti seperti membaiki rumah masyarakat, melakukan pendawaian elektrik serta menyelenggara penghawa dingin di surau sekali gus mempraktikkan kemahiran yang dipelajari dalam kursus mereka,” katanya.

Muhamad Danish Farhan.

 Sementara itu, peserta karnival, Muhamad Danish Farhan Muhamad Fauzi, 19, yang juga pelajar KV Nibong Tebal meluahkan rasa teruja kerana berpeluang meningkatkan kemahiran dalam jurusan Elektrik.

“Pembelajaran di KV ini lain sikit kerana selain membantu saya dari aspek akademik ia turut membolehkan saya menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Muhammad Alif.

Bagi, Muhammad Alif Abdul Rahman, 19, pula, ilmu dan kemahiran yang dipelajari dalam jurusan Teknologi Pemesinan telah berjaya digunakan untuk membantu pembaikan mesin di beberapa kawasan di Pulau Pinang.

“‘Meskipun baru di tahun kedua namun kemahiran yang dipelajari itu sudah boleh membuatkan saya menyumbang kepada masyarakat dan saya percaya pembelajaran TVET ini akan memberi sumbangan besar buat negara,” katanya.

Untuk rekod, Program KV Insani Masyarakat Madani dijadikan sebagai program signature untuk Kolej Vokasional di bawah seliaan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV).

Program KV Insani ini telah dilaksanakan secara meluas di KV seluruh negara antaranya KV Zon Kelantan, Pahang, Johor dan terkini di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast