Israel turut menyerang lapangan minyak terbesar di Iran menggunakan misil awal pagi Sabtu. Foto Orang Awam/X

KUALA LUMPUR- Tehran digegarkan oleh beberapa siri letupan awal pagi Sabtu ketika sistem pertahanan udara bertindak balas terhadap sasaran yang tidak dikenal pasti di ruang udara ibu negara itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Agensi itu melaporkan bahawa letupan itu berpunca daripada operasi pertahanan di tiga lokasi di seluruh Wilayah Tehran, sebagai tindak balas terhadap aktiviti musuh yang dikesan di ruang udara rantau itu.

Bunyi awal menyerupai letupan kedengaran sekitar 2.15 pagi di barat Tehran. Kemudian, kira-kira 5 pagi, tembakan pertahanan udara dilaporkan di daerah timur dan tengah ibu negara.

Seorang pegawai dari Perhubungan Awam Pertahanan Udara Wilayah Tehran mengesahkan bahawa letupan itu dikaitkan dengan operasi pertahanan udara di tiga lokasi di luar ibu negara.

Sumber keselamatan memberitahu IRNA bahawa sistem pertahanan udara berjaya memintas ancaman itu dan menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin. Sumber itu juga memaklumkan bahawa beberapa imej yang tular di media sosial berkaitan insiden berkenaan adalah daripada kejadian sebelum ini.

Setakat ini, sifat sebenar sasaran masih tidak jelas dan tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan.

Dalam satu hantaran di X, IRNA menyatakan bahawa Lapangan Terbang Imam Khomeini berada dalam keadaan stabil, dan tiada insiden keselamatan dilaporkan.

“Penerbangan di lapangan terbang ini beroperasi, kaunter dibuka, dan proses daftar masuk penumpang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Iran mengumumkan bahawa penerbangan di semua laluan telah dibatalkan “sehingga notis selanjutnya”, lapor Agensi Anadolu.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here