Mas Imran (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada Hasmah di Pasaraya Econsave Skudai, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas kerap makan nasi berlauk tauhu dan tempe disebabkan kesempitan hidup selepas kehilangan suaminya 10 tahun lalu.

Hasmah Ghazali yang berusia 62 tahun, tinggal seorang diri di Flat Taman Desa Idaman di sini manakala tiga anaknya sudah berkahwin dan mempunyai komitmen masing-masing.

Dia yang merupakan ibu tunggal meneruskan kehidupan dengan bantuan bulanan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM600.

Katanya, bantuan diperolehnya hanya mampu menampung kos sewa rumah, pembayaran bil utiliti serta sebahagian pembelian barangan dapur.

“Saya bukan saja terpaksa mengikat perut malah kadang-kala saya hanya makan nasi berlauk tauhu dan tempe kerana masalah kewangan sejak hilang upaya untuk bekerja.

“Saya hanya makan sedap sekiranya ada individu memberi sumbangan barangan basah. Bantuan JKM dan MAIJ juga digunakan sebagai tambang berulang-alik ke hospital.

“Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat sebelum menjadi tukang cuci pinggan di sebuah warung di Senai di sini untuk menyara kehidupan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan barangan dapur disampaikan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam di pasar raya itu di Senai hari ini.

Menceritakan kisah hidup, Hasmah berkata, nasibnya seperti jatuh ditimpa tangga kerana pada awal tahun 2020 terjatuh di tempat kerja hingga mengalami kecederaan di tangan dan kaki.

Tidak lama selepas itu katanya, dia menghidapi masalah jantung serta saraf.

“Ketika arwah suami hidup, saya menjaganya yang mengalami strok dan pada masa sama bekerja bagi menyara kehidupan kami,” katanya.

Beliau yang memiliki 10 cucu memilih untuk hidup berdikari dan pernah bercadang mencari kerja selepas sembuh daripada kecederaan.

“Malangnya saya terjatuh kali kedua ketika menaiki bas awam dua tahun lalu. Akibatnya saya cedera di bahagian lengan tangan kiri, pinggang dan lutut kanan serta lama saya tanggung sakit,” katanya.

Hasmah masih menjalani rawatan susulan akibat komplikasi jantung di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Bagi mengelakkan sebarang risiko, saya dinasihatkan supaya banyak berehat serta tidak melakukan pekerjaan yang berat,” katanya.

Sementara itu, Mas Imran berharap sumbangan tersebut dapat menampung keperluan warga emas tersebut selama beberapa bulan.

“Kami dimaklumkan Hasmah kerap terputus bekalan makanan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepadanya menerusi akaun Hasmah di Bank Simpanan Nasional (BSN) 01153-41-00007865-0.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here