Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Industri biojisim menerusi sektor agrikomiditi berasaskan sisa sawit dijangka mampu menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion menjelang 2030.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia dijangka dapat mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor biojisim menjelang 2030.

“Peluang pekerjaan baharu diwujudkan bagi industri penghasilan biopelet, industri penjanaan tenaga daripada biojisim, industri pulpa dan kertas, industri karbon terawat dan penghasilan biobaja,” katanya pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Dungun-PN, Wan Hassan Mohd Ramli minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda dan menggalakkan amalan ekonomi kitaran untuk mengelakkan bahan buangan berkenaan dibazirkan menjadi gas rumah hijau (GHG).

Menurut Johari, Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) secara konsisten melaksanakan aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) dalam teknologi hijau.

“Aktiviti R&D ini bertujuan mengenal pasti bahan sisa sawit yang sebelum ini dianggap sebagai bahan buangan untuk diintegrasikan semula ke dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.

“Sebagai contoh, tandan buah kosong (EFB), mesocarp fibre dan palm kernel shell merupakan sisa biojisim sawit yang boleh menjana tenaga boleh diperbaharui. Bahan sisa ini akan dibakar di dalam dandang (boiler).

“Wap yang dihasilkan akan menggerakkan turbin untuk menjana tenaga elektrik yang dapat dimanfaatkan semula dalam kilang sawit,” katanya.

Selain itu katanya, proses penghasilan minyak sawit mentah (CPO) di kilang sawit akan menghasilkan air buangan yang dikenali sebagai efluen kilang minyak sawit atau palm oil mill effluent (POME).

“POME pula akan melepaskan gas metana. Kilang-kilang sawit dapat membangunkan infrastruktur untuk memerangkap biogas daripada POME untuk mewujudkan tenaga boleh diperbaharui.

“Sisa yang tertinggal selepas proses pemerangkapan biogas juga boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan biobaja.

“Selain itu, EFB dan oil palm trunk dapat dimanfaatkan sebagai bahan sungkupan (mulch) yang boleh menambah baik keadaan tanah di ladang,” katannya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here