Orang ramai melihat dekorasi Kolam seni lantai tradisional masyarakat India dengan menggunakan beras berwarna untuk menjadikan hiasan utama sambutan Deepavali ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Nu Sentral Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kemeriahan menyambut Deepavali setiap tahun diserikan dengan pelbagai hiasan di jalan raya, pusat beli-belah, dan pelbagai premis di negara ini.

Bagaimanapun Presiden dan Penaung Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar melahirkan kekecewannya apabila sejak kebelakangan hiasan sambutan pesta cahaya itu semakin berkurangan.

Malah ada lokasi tumpuan umum tidak mempunyai apa-apa dekorasi.

“Sebenarnya hiasan ini bukan sahaja menceriakan suasana tetapi juga meningkatkan semangat perayaan. Lazimnya, pusat beli-belah tampil dengan tema dan konsep unik untuk memeriahkan sambutan Deepavali.

“Namun sejak akhir-akhir ini ada sesetengahnya tidak menyediakan hiasan langsung untuk perayaan besar ini.

“Tahun ini, tumpuan kepada budaya luar semakin ketara di tempat awam, di mana adanya hiasan Halloween lebih mendapat perhatian berbanding hiasan Deepavali.

“Ini bukan budaya atau sambutan kita selama ini jadi mengapa tiba-tiba terikut dengan budaya Barat hingga lupa nilai kebudayaan kita? 

“Tindakan ini menimbulkan persoalan tentang pentingnya hiasan perayaan tradisional bagi mencerminkan Malaysia yang kaya dengan budaya dan kepelbagaian,” katanya dalam kenyataan.

Datuk Sivakumar Nadarajah.

Menurut Sivakumar, keharmonian di Malaysia yang hidup dalam semangat bersatu dlam kepelbagaian hanya dapat dikekalkan andai sambutan perayaan terus dihargai.

Jelasnya, pusat beli belah perlu lebih peka pada kebudayaan sedia ada sejak turun temurun di negara ini supaya generasi akan datang akan terus menghargainya.

“Jangan biarkan budaya kita hilang dalam arus budaya luar. Jangan abaikan nilai-nilai ini. Bagi pemilik pusat beli-belah, jika anda mengabaikan kepentingan rakyat, jangan terkejut jika rakyat juga suatu hari abaikan anda pula,” katanya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here