KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal menggunakan kenderaan elektrik (EV) sebagai kenderaan rasmi bagi membawa para pemimpin negara bagi Kepengerusian ASEAN 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi menyokong usaha negara dalam proses peralihan tenaga boleh diperbaharui.
”Insya-Allah, saya sudah memutuskan agar kereta rasmi bagi semua pemimpin negara serantau yang hadir persidangan itu hanya akan menggunakan EV,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertemakan ‘Sektor Tenaga Pemangkin Pertumbuhan Sosioekonomi Yang Mampan dan Inklusif’ di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Tambah Anwar, sebelum ini pemimpian ASEAN menggunakan kenderaan mewah namun kini Malaysia tekad mengenai isu kemampanan dan peralihan tenaga.
“Menariknya (mesyuarat) Kabinet baru-baru ini telah memutuskan hal itu (penggunaan EV). Mari kita tunjukkan di Malaysia bahawa semua kenderaan yang disediakan kepada pemimpin kerajaan, menteri dan pegawai hanya menggunakan EV,” jelasnya.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, pemilihan kenderaan EV kerana ia lebih murah serta saiznya yang kecil berbanding kenderaan lain.
“Kita akan maklum kepada pemimpin-pemimpin negara, kami memang nak sedia kereta lebih besar tapi kereta EV paling besar, diminta gunakan dan berpuas hati dengannya,” jelas beliau.
Pada masa sama, Anwar mengulangi matlamat Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya jawatan sebagai Pengerusi ASEAN kepada negara dalam memperkukuhkan perpaduan keanggotaan.
“Agenda ASEAN 2025 adalah bercita-cita tinggi. Adalah penting bagi Malaysia dan ASEAN secara keseluruhannya untuk meraih manfaat maksimum daripada usaha ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette