Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Datin Dr Marina Mat Baki (dua kanan) dan President Shiga University Medical Science (SUMS), Prof Shinji Uemoto (dua kiri) menandatangani memorandum perjanjian bagi penawaran program Ijazah Doktor Falsafah Bersama Antarabangsa dengan Shiga University of Medical Science.

BANGI – Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Shiga University of Medical Science (SUMS), Jepun bersetuju untuk menawarkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Bersama Antarabangsa dalam Sains Perubatan.

Ketua Program Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan UKM, Prof Madya Dr Goon Jo Aan berkata, program PhD itu menggalakkan mengantarabangsaan UKM dan SUMS melalui perkongsian ilmu dan penyelidikan yang berkaitan dengan kesihatan dan penyakit degeneratif yang bakal membantu menangani isu penuaan yang kini menjadi masalah global.

“Program PhD ini menggalakkan pengantarabangsaan UKM dan SUMS melalui perkongsian ilmu dan penyelidikan yang berkaitan dengan kesihatan dan penyakit degeneratif yang bakal membantu menangani isu penuaan yang kini menjadi masalah global.

“Isu penuaan adalah secara menyeluruh yang melibatkan setiap organ di dalam badan, antaranya adalah masalah nyanyuk (Alzheimer), osteoporosis, menopaus, dan sebagainya,” katanya.

Sehingga kini, SUMS turut aktif menyertai persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh UKM, sekali gus memperkaya pertukaran pengetahuan dan idea dalam dunia perubatan,” katanya.

Dr Goon berkata, program PhD itu akan dilaksanakan melalui gabungan kaedah pembelajaran konvensional dan teknologi terkini seperti Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (Open and Distance Learning, ODL).

“Pelajar akan diberikan peluang untuk mengikuti kuliah secara atas talian melalui platform seperti ZOOM, Webex dan Google Meet, serta berinteraksi dengan penyelia dan rakan penyelidik dari UKM dan SUMS.

“Melalui kaedah ini, ia dapat memberi peluang kepada pelajar untuk membentangkan proposal penyelidikan, membincangkan hasil kajian dan mendapat bimbingan dari penyelia berpengalaman dari kedua-dua universiti,” ujar beliau.

Katanya, pelajar juga akan berpeluang untuk bekerja bersama penyelidik antarabangsa dan tempatan untuk membangunkan kemahiran digital dan numerikal dalam pengurusan penyelidikan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Datin Dr Marina Mat Baki berkata, Ijazah Doktor Falsafah Bersama ini merupakan yang pertama seumpamanya ditawarkan di Fakulti Perubatan UKM.

“Program yang bakal ditawarkan pada tahun hadapan ini adalah program PhD penyelidikan sepenuh masa dan pelajar dari UKM berpeluang untuk menjalankan penyelidikan di SUMS pada tahun kedua pengajian.

“Pelajar yang terlibat dalam program ini juga akan diberi peluang untuk menjalani penempatan di UKM dan SUMS, yang akan memberikan pengalaman berharga dalam bidang penyelidikan dan membolehkan mereka menghasilkan analisis data yang lebih mendalam serta menulis artikel jurnal untuk penerbitan,” katanya.

Tambah beliau, pelajar yang berjaya menamatkan pengajian akan dianugerahkan ijazah dari UKM dan SUMS secara bersama dalam satu skrol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast