SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara mengalu-alukan kerjasama daripada institusi pengajian tinggi (IPT) ke arah bersama-sama memantapkan profesion guaman di negara ini.
Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkata, jabatan itu sentiasa membuka ruang dan peluang kepada penuntut serta pensyarah dalam jurusan guaman di IPT untuk akses kepada kemudahan dan pengalaman yang dimiliki di jabatan tersebut.
Dalam masa sama, ujar beliau, kerjasama dengan IPT itu juga boleh memberi manfaat kepada Jabatan Peguam Negara dari sudut sokongan kepakaran dan penyelidikan akademik.
“Bagi kita kerjasama dengan IPT ini sangat penting supaya dapat terus bergerak ke hadapan selain untuk kita sama-sama membina modal insan dalam sektor profesion guaman yang baik bermula dari bawah.
“Menerusi kerjasama ini juga, kita harap penuntut perundangan dapat dididik di Jabatan Peguam Negara ke peringkat mereka mampu menjadi peguam sebenar lebih awal dan mampu membuat keputusan untuk memilih bidang profesion guaman dengan kepakaran mereka,” katanya.
Beliau berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Fakulti Perundangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Jabatan Peguam Negara di Dewan Senat, Bangunan Canseleri, UiTM, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, UiTM diwakil Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
MoU itu bertujuan menjalin kerjasama strategik dalam bidang pendidikan undang-undang, latihan profesional dan penyelidikan antara UiTM dan Jabatan Peguam Negara.
Dengan termeterainya MoU itu, para pelajar Fakulti Undang-Undang UiTM akan diberi keutamaan untuk menjalani latihan industri di Jabatan Peguam Negara yang bakal memberikan mereka pengalaman praktikal di dalam badan penasihat undang-undang utama Malaysia, seterusnya mempersiapkan mereka untuk kerjaya dalam bidang undang-undang.
Selain itu, MoU tersebut juga akan menyediakan peluang kepada ahli akademik UiTM untuk menjalani tempoh sabatikal di Jabatan Peguam Negara yang akan memperluas pertukaran ilmu dan pembangunan profesional.
Para graduan undang-undang terbaik UiTM juga berpeluang dipertimbangkan untuk direkrut di bawah Program Green Harvest iaitu inisiatif yang berprestij untuk menarik individu cemerlang dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan Malaysia.
Sementara itu, Shahrin berkata, dengan adanya pertukaran ilmu dan perkongsian pengalaman menerusi MoU bersama Jabatan Peguam Negara itu, kualiti penyelidikan dan pengajaran di UiTM dapat dipertingkatkan.
Ujar beliau, kerjasama seumpama itu juga penting dalam menggalakkan pembangunan teknologi undang-undang yang lebih moden dan canggih, selaras dengan usaha kerajaan ke arah digitalisasi.
Jelasnya, ia sekali gus dapat memastikan Malaysia terus relevan dan berdaya saing dalam era perundangan digital di samping memberi manfaat besar kepada masyarakat.
“Saya amat berharap agar titik permulaan pada hari ini akan melahirkan lebih banyak kerjasama pada masa hadapan.
“Semoga usaha ini dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada pembangunan pendidikan undang-undang dan profesion perundangan di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette