KUALA LUMPUR – Semua syarikat milik agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya mencatatkan keuntungan dalam tahun kewangan bagi tahun 2024.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, prestasi itu jauh lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini apabila semuanya berjaya merekodkan hasil positif.
Beliau berkata, prestasi Ketengah Holding Sdn Bhd antara yang boleh dibanggakan apabila berjaya merekodkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM53.8 juta setakat September, menghampiri sasaran RM55 juta ditetapkan.
“Felcra Berhad Sdn Bhd pula mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM116.27 juta setakat September tahun ini, berbanding RM41.61 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.
“Yang kedua, dari sudut penetapan pelan perniagaan anak-anak syarikat tersebut lebih terancang dan mempunyai daya dan berdaya maju,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemukiman Syarikat Mengikut Agensi dan Lembaga Kemajuan Wilayah KKDW di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut Rubiah berkata, antara faktor penyumbang kejayaan semua anak syarikat itu adalah kerana mengamalkan tata kelola yang baik, seperti disarankan Ahmad Zahid.
Tambahnya, program perniagaan yang diberi itu mempunyai unjuran keuntungan yang lebih positif kepada organisasi termasuk pelan perniagaan yang dipilih selari dengan motif, objektif, dasar KKDW dan negara.
“Pertamanya, dari sudut keterjaminan makanan…kedua, pembangunan hartanah…ketiga, agro-pelancongan dan juga pelbagai aktiviti lain yang menguntungkan agensi-agensi berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, melihat prestasi memberangsangkan pada tahun ini, Rubiah berkata, KKDW akan menetapkan sasaran baharu kepada semua anak syarikat berkenaan.
Jelas beliau, ia dijangka diumumkan pada sesi pemukiman seterusnya pada Januari tahun depan. – MalaysiaGazette