Suasana di dalam Penjara Kajang. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kadar pemenjaraan di Malaysia pada masa kini adalah 245/100,000 penduduk, berbanding kadar purata pemenjaraan dunia 145/ 100,000 penduduk.

Manakala jumlah keseluruhan institusi penjara adalah sebanyak 43 buah di seluruh negara dengan 19 buah mengalami kapasiti melebihi 20 peratus terutamanya penjara di bandar-bandar besar di Malaysia.

Jabatan Penjara Malaysia berkata, fasiliti penjara telah mengalami kadar pertambahan prospek melebihi kapasiti sebenar iaitu sebanyak 74,146 berbanding jumlah kapasiti keseluruhan terkini (5 November 2024) seramai 87,419 orang (melebihi 11.24 %) dengan jumlah prospek di dalam penjara seramai 82,482 (94.35%) orang dan di dalam komuniti seramai 4,937 (5.65%) orang.

“Kadar yang tinggi ini tidak baik untuk imej negara daripada segi keselamatan dan kesejahteraan awam dari kaca mata dunia,” katanya dalam kenyataan di sini,.

Dalam menangani kadar kesesakan di institusi penjara, Jabatan Penjara Malaysia telah memperkasakan serta memperluaskan pelbagai inisiatif.

Melalui peruntukan undang-undang di bawah seksyen 43, 46 dan 47 Akta Penjara 1995, memberi ruang kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk memperkenalkan hukuman alternatif melalui Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan menggunakan Program Corporate Smart Internship (CSI) seperti Program CSI Parol, CSI Program Banduan Secara Lesen (PBSL), CSI Program Bebas Lesen (PBL) dan Program Reintegrasi Penghuni Industri kepada prospek yang layak diberi Pemulihan Dalam Komuniti.

Kadar residivis (jenayah berulang) adalah rendah di bawah program PDK iaitu sebanyak 0.24% berbanding dengan 17.6% bagi mereka yang hanya menjalani pemulihan dalam fasiliti atau dalam penjara.

Oleh itu, Jabatan Penjara Malaysia juga menyokong penuh cadangan hukuman alternatif dengan mengwujudkan Akta Tahanan Rumah yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu.

Jelasnya, keperluan untuk mengwujudkan Akta Tahanan Rumah merupakan hukuman alternatif yang membolehkan prospek menjalani hukuman di rumah dengan peraturan-peraturan mengikut masa yang ditetapkan.

Langkah ini dapat mengawal pergerakan prospek untuk kekal di dalam rumah (kediaman) bersamaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 dan terbukti penurunan kadar jenayah di Malaysia ketika itu.

Selain itu Program Pemulihan Dalam Komuniti atau hukuman alternatif baharu yang lain membolehkan pengurangan kesesakan institusi penjara, mengurangkan kadar pemenjaraan yang tinggi pada masa kini dan menjimatkan kos kepada kerajaan.

Ia juga memberi peluang kedua kepada prospek untuk membuktikan bahawa mereka masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast