Sofea Nia Emyra Shaharol

KUALA LUMPUR – Kejayaan Sofea Nia Emyra Shaharol, 23, menggengam ijazah dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT)membuktikan orang asli berpeluang mencipta kejayaan setanding masyarakat lain dan mendapat tempat dalam kalangan majikan.

Sofea Nia Emyra,anak sulung daripada empat beradik dibesarkan dalam keluarga Mahmeri yang menetap di Batu 12, Gombak.

Pada tahun 2018, ketika sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), keluarganya memilih Islam sebagai pegangan untuk panduan hidup.

Perjalanan hidupnya mula mencorak arah yang lebih cerah apabila beliau memilih aliran perakaunan semasa di sekolah menengah yang menjadi asas kepada penerokaan bidang itu lebih mendalam.

Selepas tamat SPM, dia yang lebih mesra dengan panggilan Sofea menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Matrikulasi Perlis dalam jurusan perakaunan selama setahun.

Keputusan peperiksaan yang cemerlang di peringkat matrikulasi telah mendorongnya diterima masuk ke UMT untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Perakaunan.

Dengan mempraktikkan segala ilmu dan kemahiran yang ditimba sepanjang bergelar pelajar UMT, kini, Sofea Nia Emyra Shaharol berkhidmat di sebuah firma audit di Setapak, di sini, tempat dia menjalani latihan industri semasa pengajian.

Berkongsi kisah sedih, Sofea melalui pelbagai cabaran termasuk dipandang rendah hanya kerana berasal dari keturunan orang asli.

“Sewaktu di sekolah saya sering diejek rakan sebaya yang memandang rendah hanya kerana berketurunan orang asli. Saya terima ejekan itu sebagai pembakar semangat untuk buktikan orang asli mampu berjaya dan mencapai kejayaan setanding dengan masyarakat lain.

“Penghinaan tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya ia perlu dijadikan pembakar semangat untuk membuktikan bahawa anak-anak muda orang asli juga mampu menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here