KUANTAN – Agenda dakwah terus disemarakkan dan menjadi elemen utama termasuk kepada komuniti orang kelainan upaya (OKU).
Untuk itu Kerajaaan Negeri Pahang memperuntuk sebanyak RM1.2 juta untuk memenuhi keperluan OKU Penglihatan yang beragama Islam untuk membaca al-Quran di Pahang melalui Projek Celik Al-Quran Braille.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri , Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dan menjayakan projek tersebut.
“Bagi merealisasikan projek ini, UnIPSAS telah mengadakan bengkel pembangunan guru al-Quran Braille yang disertai 28 peserta dalam kalangan pensyarah UnIPSAS, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP).
“Selain itu bengkel tersebut turut disertai guru-guru daripadaJabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang. (MUIP) sebanyak tiga siri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, UnIPSAS juga telah membeli 60 Unit eBraille al-Quran berjumlah RM600,000 untuk tujuan pembelajaran dan akan ditempatkan di UnIPSAS, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan sekolah-sekolah Pendidikan khas yang berkaitan.
UnIPSAS juga turut membeli perisian komputer eBrelle Online Teaching Class Room untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
“Saya selaku Ahli Jawatankuasa Penasihat UnIPSAS amat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang atas keprihatinan beliau dalam memastikan Projek Celik Al-Quran Braille ini dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi membantu golongan OKU penglihatan membaca al-Quran dan seterusnya menyuburkan syiar Islam di bumi Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette