KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menyiasat seorang pegawai kadet tahun dua Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) Sungai Besi di sini yang didakwa menjadi mangsa buli dan dera baru-baru ini.
Difahamkan mangsa adalah penuntut jurusan kejuruteraan yang dibuli pelajar senior dengan menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada hingga melecur.
“ATM mengambil maklum berkenaan laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden seorang Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK – UPNM) yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang senior menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada pegawai kadet tersebut sehingga meninggalkan kesan lecur.
“Susulan itu, ATM mengesahkan bahawa kes tersebut kini sedang dalam siasatan di peringkat ALK – UPNM,” katanya dalam kenyataan Markas ATM Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan malam tadi.
ATM menegaskan, siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes
tersebut.
Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah.
ATM juga menggesa agar masyarakat memberi ruang kepada pihaknya menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
Selain itu, masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kepada proses siasatan tersebut.
Tambahnya, segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Susulan itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu kerana didapati membunuh Zulfarhan.- MalaysiaGazette