Dari kiri: Chey Shuan Moon, Pua Wei Fang, Cheng Yi Xuan, Josephine Andrea Madolen, dan Asst Prof Foo Fang Ee, Penasihat Kelab Perunding UCSI.

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI muncul sebagai naib juara di Pertandingan Perniagaan Antarabangsa Sydney 2024 (Sydney International Business Competition 2024).

Diwakili oleh Josephine Andrea Madolen, Cheng Yi Xuan, Chey Shuan Moon dan Pua Wei Fang, UCSI berjaya mengetepikan pasukan-pasukan handal lain dalam pertandingan lima hari yang diadakan di Universiti Sydney.

Kegembiraan berganda buat UCSI apabila Wei Fang menerima anugerah penceramah terbaik.

Selain daripada tuan rumah, Universiti Teknologi Sydney, Universiti Otago, Sekolah Perniagaan Copenhagen, Universiti Münster, Universiti Washington-Seattle, Universiti Corvinus Budapest, Universiti Amerika Beirut, Universiti Bandaraya Hong Kong, Universiti Politeknik Hong Kong dan Universiti Cina Hong Kong juga menyertai pertandingan tersebut.

Ditugaskan untuk membangunkan strategi perniagaan untuk Telstra, syarikat telekomunikasi terbesar Australia, pasukan UCSI telah mencadangkan API Pelaporan Peranti dalam sektor penjagaan kesihatan.

Ini akan menangani isu-isu penting seperti kerosakan peranti, membolehkan pemantauan masa nyata dan menandakan ketidakcekapan dalam sistem saling berhubung yang terdiri daripada peranti perubatan IoT.

Kebijaksanaan mereka mengagumkan wakil Telstra dalam panel penilai dan UCSI muncul sebagai pemenang keseluruhan dalam kumpulan mereka, sebelum menduduki tempat kedua di belakang Sekolah Perniagaan Copenhagen pada peringkat akhir.

“Pengalaman ini satu inspirasi dan sangat gembira dengan usaha kami memandangkan ini adalah pertandingan pertama kami di luar Asia.

“Saya berasa gentar dengan pelajar yang berkaliber dari universiti ternama pada mulanya. Tetapi saya memilih untuk tidak fokus pada jurang kemahiran dan memberikan yang terbaik. Akhirnya, tidak mengapa untuk menghadapi pesaing yang lebih kuat, yang penting ialah pertumbuhan peribadi dan pembelajaran berterusan,” kata Josephine Andrea sebagai ketua pasukan.

Mengimbas pengalamannya, Yi Xuan berkata, dia belajar banyak tentang daya tahan daripada rakan sebaya Lubnan semasa pertandingan.

“Saya mendapat inspirasi daripada pasukan dari Universiti Amerika Beirut yang memberikan segalanya walaupun dalam kegawatan yang berlaku di negara mereka. Melihat mereka mengingatkan saya bahawa ketabahan adalah kunci dalam semua keadaan,” ujar Wei Fang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast