KUALA LUMPUR – Filem ‘scam’ pertama Malaysia, ‘Oppa’mencipta sejarah apabila berjaya meraih dua anugerah di Festival Filem Antarabangsa Asia 2024 di Macau baru-baru ini.
Dua anugerah di menangi Oppa ialah, ‘Anugerah Filem Malaysia Terbaik’ dan Pelakon Filem Bahasa Asing Terbaik’ yang dimenangi oleh artis Korea Jang Tae-oh yang merupakan antara watak utama filem tersebut.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ketua Pegawai Perniagaan Dream Film Sdn Bhd, Dr Loh Sheng Nian berkata, pihaknya cukup teruja apabila filem tempatan hasil syarikat produksi mereka yang berkisarkan kempen kesedaran mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Katanya, kejayaan Oppa di pentas dunia tidak akan sesekali tercapai tanpa sokongan kukuh daripada pasukan produksi, baik di depan mahupun di belakang tabir yang mahu mendidik masyarakat daripada terus menjadi mangsa kepada sindiket-sindiket penipuan yang semakin berleluasa bukan sahaja pada realiti kini.
“Pasukan Polis Diraja Malaysia juga telah mainkan peranan penting dalam filem ini. Ini juga antara kempen dan pencegahan yang sebenarnya mendapat sokongan serta pujian dunia luar bagaimana Malaysia sebenarnya ‘all out’ tangani isu-isu penipuan atas talian.
“Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada semua, terima kasih kerana beri sokongan tidak berbelah bahagi juga kepada kita,” katanya.
Oppa yang diarahkan pengarah muda, Chong Lin Loong turut menjalinkan kerjasama dengan PDRM bersama produksi Dream Film Sdn Bhd dalam penghasilan filem anti-penipuan ini.
Filem yang berdurasi 90 minit ini menelan kos hampir RM2 juta, menampilkan lebih daripada 50 anggota polis sebenar PDRM untuk beraksi menentang sindiket penipuan.
Oppa memaparkan kisah seorang guru wanita yang bercinta dengan lelaki Korea tetapi mengalami kerugian hingga ratusan ribu ringgit apabila kekasihnya menghilangkan diri secara tiba-tiba.
Lebih malang apabila wanita itu mula diburu ‘Ah long’ kerana membuat pinjaman untuk diberikan kepada kekasihnya.
Filem ini dibintangi Theo Jang, aktör Korea Selatan, pelakon tempatan lain seperti Jacqueline Goh, Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi. -MalaysiaGazette