Friday, November 22, 2024
Home SISWA Hikayat Merong Mahawangsa jadi pilihan ASWARA

Hikayat Merong Mahawangsa jadi pilihan ASWARA

Teater Sakti Merong Mahawangsa himpun lebih 100 Alumni ASWARA. Foto FB ASWARA.

KUALA LUMPUR – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bakal mempersembahkan teater muzikal istimewa ‘Sakti Merong Mahawangsa’ sempena 30 tahun penubuhannya sebagai institusi pengajian seni terulung di Malaysia.

Pementasan teater dengan kerjasama Persatuan Alumni Aswara itu akan diadakandi The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) bermula 22 hingga 24 November ini.

Presiden Persatuan Alumni Aswara, Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin berkata,  teater muzikal itu merupakan acara kemuncak sambutan Jubli Mutiara, yang mengambil inspirasi daripada hikayat legenda, Hikayat Merong Mahawangsa.

Menurut beliau, naskhah itu dipilih kerana merupakan interpretasi moden yang menceritakan perjalanan hidup Merong Mahawangsa membina Kedah Zamin Turan yang kini dikenali sebagai negeri Kedah.

“Teater ini adalah simbol semangat Aswara yang tidak kenal putus asa dalam memelihara serta mengangkat nilai seni dan warisan negara sejak ia ditubuhkan pada 1994.

“Justeru, pementasan ini akan menghimpunkan lebih 100 bakat alumni Aswara dari pelbagai fakulti ini dibuat bagi memenuhi hasrat Rektor Aswara Dr Tan Awang Besar yang mahu mengangkat karya agung Hikayat Merong Mahawangsa ke pentas muzikal,” katanya pada sidang media pementasan teater muzikal berkenaan baru-baru ini.

Antara barisan pelakon teater muzikal istimewa ‘Sakti Merong Mahawangsa’.

Antara pelakon lain yang turut membintangi teater itu adalah A. Aris Kadir, Ezdianie Hayatie, Hairi Safwan, Fadhli Masoot, Saiful Wazien, Amirul Hakim, Aznie, Mei Fen, Najua P Ramlee, Ewan Fauzi, Syrul Ezwan, Reza Mohamed dan Hafizam.

Kesemua pelakon dipilih perlu melalui sesi uji bakat dengan menetapkan kebolehan menyanyi, berlakon dan menari sebagai kriteria utama.

Dalam pada itu, pengarah teater muzikal berkenaan, Mohd Sharul Mizad Asari mengakui berdepan cabaran menggalas tanggungjawab tersebut kerana diberi tempoh yang  singkat bagi melaksanakan sebuah persembahan.

“Dalam tempoh tiga bulan, kami bukan sahaja perlu menyiapkan semuanya termasuk daripada segi mengumpulkan alumni dan pembinaan skrip.

“Bagaimanapun bekerja dalam keadaan tertekan sering kali dapat menghasilkan idea yang lebih kreatif selain sokongan daripada semua pihak dalam memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Bagi A Aris yang memegang watak utama, dia meluahkan rasa syukur diberi peluang untuk kembali ke pentas teater selepas 15 tahun tidak beraksi.

Pelakon teater berpengalaman itu berkata, ia kerana dia memberi lebih tumpuan kepada kerja-kerja di belakang tabir sebagai koreografer.

“Jadi apabila berpeluang kembali beraksi di atas pentas, adrenalin sangat berbeza dengan perasaan bercampur baur, ada seram, suka dan takut. Saya juga tidak sangka dipilih untuk memegang watak utama kerana tujuan utamanya hanyalah untuk melepaskan rindu.

“Situasi itu membuatkan saya berada dalam keadaan tertekan susulan saya mengalami kesukaran untuk menghafal skrip, namun perkara itu dapat diatasi hasil sokongan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang berminat boleh membeli tiket secara atas talian menerusi pautan https://www.cloudjoi.com/shows/teater-muzikal-sakti-merong-mahawangsa bermula pada 6 November lalu. – MalaysiaGazette

Teater muzikal ‘Sakti Merong Mahawangsa’ akan dipentaskan di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) bermula 22 hingga 24 November ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast