GEORGE TOWN – “Dua nyawa makcik hilang (tetapi) saya reda dengan pemergian mereka”.
Demikian luahan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Khalida susulan kematian anaknya (Siti Zulaila) dan suaminya (Zulkifli Ibrahim) akibat ditikam seorang lelaki di sebuah apartmen di Lengkok Angsana, Ayer Itam di sini, semalam.
Ketika diminta mengulas mengenai kejadian Khalida memaklumkan masih belum bersedia untuk memberikan kenyataan lanjut.
“Ini takdir mereka berdua (meninggal dunia) begini, kita yang hidup ini belum tahu bagaimana pengakhiran kita” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati suami kepada Siti Zulaila turut kelihatan di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP.
Sementara itu, kakak kepada Zulkifli, Khadijah Ibrahim, 64, berkata, kali terakhir adiknya menelefonnya beberapa minit sebelum lelaki itu dan anak perempuannya ditikam.
“Kira-kira 12.47 tengah hari semalam saya berbual dengannya (Zulkifli) dan ketika itu dia sedang minum di sebuah kedai sebelum memaklumkan terpaksa memutuskan panggilan telefon kerana mendapat panggilan masuk dari anak perempuannya.
“Bagaimanapun, beberapa minit kemudian saya terima panggilan dari mak yang memaklumkan adik yang mesra dengan panggilan Zul telah meninggal dunia.
“Ketika itu saya macam tak percaya kerana baru saja berbual menerusi panggilan telefon dengannya,” katanya sambil menambah Zulkifli merupakan anak ketiga daripada 10 beradik serta bekas pesara tentera.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan laporan bedah siasat ke atas Siti Zulaila menemui enam kesan tikaman.
MalaysiaGazette difahamkan, laporan tersebut diperoleh selepas proses bedah siasat dijalankan ke atas wanita beusia 30 tahun itu selesai di Jabatan Forensik HPP tengah hari tadi.
Selain itu, punca kematian mangsa juga disebabkan tikaman terkena pada bahagian jantung.
Tinjauan MalaysiaGazette di Jabatan Forensik HPP mendapati proses bedah siasat bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, dijangka bermula jam 3 petang nanti. – MalaysiaGazette