Pengarah Pusat Kawalan Bencana (NDCC), Nazaruddin Sharaai menerangkan mengenai operasi kawalan bencana pada Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti, Puchong. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Sebanyak 256 cerun kritikal di seluruh negara  telah dikenal pasti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kini dalam pemantauan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, terdapat tiga kategori cerun telah diklasifikasikan terdiri daripada  86 kritikal tinggi, 84 kritikal sederhana dan 84 lagi kritikal rendah.

“Sabah antara negeri yang mempunyai 36 cerun kritikal diikuti Johor, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang masing-masing 25 cerun.

“Kami juga menyediakan 53 stesen penanda aras gempa bumi, 10 tolok hujan, tujuh siren serta sensor seismik dan sensor wayar bagi mengesan pergerakkan tanah serta aktiviti geologi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti hari ini.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus bercakap ketika ditemubual pada Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti, Puchong. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2024

Dalam pada itu, katanya, NADMA juga telah mengesan 4,619 lokasi titik panas banjir di seluruh negara pada tahun ini yang turut dipantau sepanjang tempoh MTL.

Ia membabitkan 3,605 lokasi di Semenanjung, Sabah (799), Sarawak (201) dan Labuan (14) kawasan hotspot banjir.

“Lokasi itu diambilkira berdasarkan kawasan yang mengalami kekerapan tidak kurang tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini,” ujarnya.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Aminurrahim Mohamed bercakap pada Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti, Puchong. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2024

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya telah mengaktifkan seramai 553 anggota untuk melakukan pelbagai tugasan.

“Kita melakukan rondaan dengan kekerapan minimum lima kali seminggu di lokasi panas sebagai persiapan menghadapi banjir atau bencana.

“Kami memanggil anggota kami dalam pasukan ini sebagai Chameleon kerana mengambil tugasan pentadbiran malah melakukan dua atau tiga perkara berkaitan bencana.

“Sepanjang 10 bulan ini, lebih 30,000 kal rondaan dibuat di seluruh negara dan apabila menemui insiden atau bencana, kita laporkan maklumat pada pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, APM akan menubuhkan tugasan baharu iaitu mengenal pasti pokok berusia atau berisiko tumbang untuk dilaporkan kepada pihak berwajib bagi tindakan lanjut.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast