Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah dan memerintah membayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan peguam untuk membuat rayuan terhadap saman fitnah Guan Eng berhubung pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyifatkan jumlah ganti rugi sebanyak RM1.35 juta sebagai berlebihan.

“Saya percaya bahawa kenyataan saya tidak memfitnah dan bahawa saya mempunyai pembelaan yang baik terhadap tuntutan itu dan bahawa jumlah yang telah diberikan oleh mahkamah adalah berlebihan.

“Sebagai mematuhi keputusan Mahkamah, saya akan mengalih keluar siaran yang menjadi subjek tindakan ini daripada akaun Facebook dan media sosial saya,” katanya dalam kenyataan.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain hari ini membenarkan saman Guan Eng terhadap Muhyiddin setelah mendapati bekas menteri kewangan itu berjaya membuktikan kesnya.

Pada 27 Mac 2023 Guan Eng menfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwanya membuat tiga kenyataan fitnah pada 9, 11 dan 12 Mac 2023 yang melibatkan beliau dalam isu pembatalan cukai itu.

Laporan berhubung isu itu kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Lim yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang turut mendakwa kenyataan itu membawa maksud beliau menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri agar mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary, walaupun yayasan kebajikan itu diberi pengecualian.

Roz Mawar dalam penghakimannya berkata, Muhyiddin mempunyai pelbagai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya berhubung kenyataan yang dikeluarkan adalah betul.

Beliau berkata, Muhyiddin bagaimanapun tidak berbuat demikian dan terus membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif selepas plaintif memberitahunya tentang kepalsuan dakwaan sedemikian dalam kenyataan fitnah itu.

Pecahan mahkamah bagi ganti rugi adalah RM350,000 bagi setiap tiga kenyataan yang membawa kepada RM1.05 juta sebagai ganti rugi am, ditambah RM150,000 untuk ganti rugi teruk dan RM150,000 untuk ganti rugi teladan.

Mahkamah turut memerintahkan supaya Muhyiddin menarik balik ketiga-tiga kenyataan berunsur fitnah daripada semua akaun media sosialnya serta-merta.

Roz Mawar turut memberi injunksi bagi menghalang Muhyiddin daripada mengulangi kenyataan itu dan memerintahkan Muhyiddin membayar kos RM50,000 kepada Guan Eng.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast