Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus bercakap pada Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti, Puchong. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Sembilan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bagi menghadapi banjir Monsun Timur Laut (MTL) akan diwujudkan dalam tempoh 15 bulan.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, PPK itu penting bagi mengurangkan penggunaan sekolah sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sekolah yang dibina bukan untuk tujuan itu (menempatkan mangsa banjir) dan kita harap ia tidak lagi digunakan.

“Bagi jangka masa panjang, PPK boleh digunakan pihak sekolah untuk tujuan kokurikulum masing-masing,” jelasnya.

“Untuk fasa pertama kita tetapkan sembilan PPK dahulu dan kita memang merancang untuk membina lagi pusat pemindahan ini secara berterusan berhampiran sekolah bagi menggantikan PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti, di sini hari ini

Menurut Khairul Shahril, ketika ini sebuah dewan serbaguna di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor telah dinaik taraf kepada PPK dan sedia digunakan bagi menghadapi banjir.

“Ada baki lapan lokasi PPK telah dikenal pasti dan dalam proses tender bagi menaiktaraf fasiliti serta kapasiti iaitu di Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

“PPK di Kota Tinggi itu sudah bersedia menerima mangsa banjir lebih ramai iaitu 400 orang berbanding 190 mangsa sebelum ini malah memiliki fasiliti serta kemudahan yang mencukupi.

“Kita sedia maklum kawasan itu sering dinaiki air malah tidak mempunyai pusat pemindahan yang besar untuk menempatkan jumlah mangsa banjir yang ramai,” katanya.

Pengarah Pusat Kawalan Bencana (NDCC), Nazaruddin Sharaai menerangkan mengenai operasi kawalan bencana pada Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti, Puchong. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2024

Mengulas lanjut Khairul Shahril berkata, kos maksimum bagi pembinaan sebuah PPK telah ditetapkan oleh kerajaan adalah  sebanyak RM5 juta.

Pada masa sama, pihaknya mengalu-alukan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) membantu NADMA dalam menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mangsa banjir pada musim MTL ini.

Katanya, NGO yang berminat boleh berdaftar dengan pihaknya menerusi aplikasi Rakan NADMA agar urusan bantuan dapat diagihkan dengan lebih cekap bagi mengelakkan pembaziran

“Melalui aplikasi itu juga NGO yang terlibat boleh berkongsi maklumat mengenai atur gerak kerja dan jenis bantuan yang  diperlukan di sesebuah kawasan yang dilanda banjir dan selain sebagai pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast