Majistret Shyahirah (kanan) melakukan proses reman terhadap suspek kes bunuh dua beranak di Hopsital Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Suspek yang menikam mati dua beranak dalam kejadian di sebuah apartmen di Lengkok Angsana, Ayer Itam di sini, semalam, direman selama tujuh hari.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Shyahirah Abdul Salim bermula hari ini sehingga 14 November ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman itu dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, berikutan suspek masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

Terdahulu, Shyahirah tiba di HPP pada jam 10.55 pagi dan proses permohonan reman selesai kira-kira 10 minit kemudian.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek kini berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di zon merah HPP.

“Suspek mengalami kecederaan pada bahagian leher dan anggota badan susulan dia bertindak menikam dirinya di lokasi kejadian semalam,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Anak dan bapa mati dibunuh akibat cinta ditolak

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, akibat tidak puas hati cinta ditolak, seorang lelaki bertindak menikam Siti Zulaila Zulkifli, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, di hadapan lif tingkat bawah apartmen tersebut.

Dalam kejadian tersebut, suspek juga bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali selepas membunuh dua mangsa terbabit.

Suspek berusia 32 dilaporkan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.