SEBERANG PERAI – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan kekalahan Gobind Singh Deo dalam pemilihan parti di Selangor sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dalam DAP.
Jelas beliau, meskipun keputusan tersebut sesuatu yang mengejutkan namun Gobind menerimanya dengan hati terbuka.
“Ini adalah proses demokratik biasa. Malah, dengan kekalahan ini tidak bermakna beliau (Gobind) perlu berundur.
“Gobind masih memainkan peranan penting sebagai Timbalan Pengerusi DAP di peringkat kebangsaan dan saya berterima kasih kepada beliau atas sumbangannya kepada DAP Selangor selama ini,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kegagalan Gobind mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Selangor dalam pemilihan semalam.
Media semalam melaporkan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo, gagal mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Selangor selepas tewas dalam pemilihan Pemilihan DAP Negeri Selangor bagi penggal 2024-2027.
Pemilihan berlangsung sempena Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC).
Berdasarkan keputusan pemilihan yang diumumkan, Gobind yang juga Menteri Digital hanya memperoleh 675 undi, sekali gus gagal meletakkan namanya dalam kelompok 15 teratas untuk dilantik jawatan tertinggi DAP negeri. – MalaysiaGazette