KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya terus menerima berita sedih kehilangan khidmat penyerang naturalisasi, Romel Morales selepas kehilangan dua pemain tengah, Natxo Insa dan Mukhairi Ajmal Mahadi.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat melaporkan diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan selepas mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC, malam tadi.
“Pengendali skuad kebangsaan Pau Marti Vicente memanggil pemain muda berusia 21 tahun dari kelab Chonburi FC, Fergus Tierney bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Morales.
“Fergus dan kapten, Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Bangkok, Thailand setibanya skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti di sana esok,” kata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan.
Empat pemain JDT yang lain iaitu penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Mohd Hanapi sudah melapor diri bersama skuad kebangsaan.
Semalam, Vicente menggugurkan Insa dan Mukhairi selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) minggu lalu.
















