KUALA LUMPUR- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diberi dana RM500,000 bagi melaksanakan 12 projek berimpak tinggi di bawah inisiatif Komuniti@UniMADANI.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata, daripada jumlah itu, RM213,000 diperuntukkan kepada penyelidik Fakulti Perikanan dan Sains Makanan untuk memajukan komuniti setempat.
Katanya, dana itu merupakan hasil kepercayaan Kementerian Kewangan kepada UMT dalam mengukuhkan hubungan universiti dengan komuniti melalui pelbagai inisiatif sosial.
Ia juga membuktikan keyakinan MOF terhadap keupayaan universiti berkenaan dalam melaksanakan projek-projek berteraskan inovasi sosial.
Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek tersebut dilihat berupaya memberi impak positif, bukan sahaja dari segi peningkatan taraf hidup komuniti tetapi juga dalam menyokong agenda kelestarian negara.
“Inisiatif ini seiring dengan usaha UMT dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk SDG 2 untuk pembasmian kelaparan dan SDG 17 bagi kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Marinah juga berharap pelaksanaan projek itu dapat mengukuhkan kedudukan UMT sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja berfokus pada penyelidikan akademik tetapi juga memenuhi tanggungjawab sosial.
“Kepercayaan ini adalah satu pengiktirafan kepada UMT untuk meneruskan komitmen kami dalam memberi impak positif kepada komuniti sekitar melalui pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti komuniti,” katanya lagi. -MalaysiaGazette