Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah menjalankan siasatan pada 7 November lalu susulan aduan orang awam dan laporan tular pengabaian penyu di sebuah resort di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan dijalankan oleh Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (CKOPP) Negeri Sembilan bagi menilai keadaan penyu serta tahap kebersihan kolam di pusat tersebut.

Katanya, semasa pemeriksaan, tiga ekor penyu agar tersebut berada dalam keadaan sihat dan aktif berenang.

Kolam penyu terbabit juga dijaga dengan baik dan air kolam dalam keadaan bersih dan tidak berbau.

Bagaimanapun katanya, beberapa aspek pengurusan dan kebajikan penyu perlu ditingkatkan untuk memastikan hidupan itu dipelihara dalam keadaan yang sesuai.

“Pihak pengurusan Glory Beach Resort telah diberi arahan serta nasihat secara bertulis agar segera mematuhi garis panduan penjagaan penyu yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

“Langkah-langkah pemulihan yang segera juga telah dikenal pasti dan akan dipantau oleh pihak jabatan untuk memastikan pengurusan pusat tersebut mengekalkan piawaian yang ditetapkan pada masa hadapan,” katanya.

Tambah kenyataan itu beberapa langkah juga telah diambil oleh pihak Glory Beach Resort untuk memastikan kebersihan kolam penyu.

Antaranya, menukar diet makanan penyu daripada ikan mentah kepada udang mentah bagi mengurangkan pencemaran air kolam, mengganti air kolam setiap minggu dengan mengepam air laut dari pesisiran pantai mengikut pasang surut, serta menggunakan pam berkapasiti tinggi untuk menapis air kolam.

Pengarah Perikanan, Kasim Tawe berkata pihaknya akan akan menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan keadaan kolam dan kebajikan penyu sentiasa terjaga.

Jabatan juga merancang untuk melepaskan tiga ekor penyu agar ini ke perairan laut pada awal tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan spesies ini.

“Kami mengambil serius isu-isu berkaitan kebajikan hidupan laut, terutama penyu yang merupakan spesies dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985. Semua pusat pemuliharaan dan pameran hidupan laut perlu mematuhi piawaian penjagaan yang ketat bagi menjamin kesejahteraan hidupan tersebut,” ujar beliau.

Tambahnya, DOF menghargai keprihatinan masyarakat dalam melaporkan isu-isu berkaitan kebajikan hidupan laut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast