KUALA LUMPUR – Pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior kemungkinan diberhentikan pengajiannya.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan mengenai hukuman dalam kes itu akan dimuktamadkan oleh Lembaga Siasatan pada hari ini.
Selain diberhentikan pengajian di UPNM, pegawai kadet terbabit juga mungkin dituntut membayar balik biasiswa pengajian yang ditawarkan kepadanya.
“Dalam perkembangan terbaharu kes ini, kita sudah lengkapkan siasatan dan sudah tentu hasil siasatannya sama dengan siasatan polis, hanya daripada segi hukuman akan ditentukan (Lembaga Siasatan) pada hari ini terhadap penuntut itu.
“Kita (Kementerian Pertahanan) tidak akan berkompromi sama sekali dalam soal disiplin ini kerana soal ‘ragging’ semasa orientasi itu bukan perkara baru, di mana-mana institusi pun ada, tapi tak pernah membabitkan soal kekerasan begini.
“Tindakan lebih tegas akan diambil termasuk diberhentikan jadi kadet dan kita akan menuntut dibayar balik tanggungan pengajian yang sudah diberikan sepanjang masa pengajiannya,” katanya dalam sidang media di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Khaled menegaskan, hukuman sama itu akan terpakai kepada mana-mana pegawai kadet yang didapati terbabit kes buli atau mencederakan pegawai kadet lain.
Dalam soal berkaitan, tegasnya lagi, kementeriannya tidak akan berkompromi sama sekali dengan sebarang kelakuan melanggar disiplin yang membabitkan keganasan atau kekerasan.
“Hukuman tidak lari daripada itu bagi mereka (penuntut) yang terbabit keganasan atau kekerasan sama ada semasa dalam orientasi atau secara hubungan harian biasa sesama kadet,” katanya.
Sebelum ini, Khaled dilaporkan berkata, hasil siasatan kes buli berkenaan akan dibentangkan oleh jawatankuasa siasatan dalam satu mesyuarat bersama lembaga siasatan.
Dalam insiden yang berlaku pada 22 Oktober lalu, seorang pegawai kadet ALK UPNM mendakwa menjadi mangsa dibuli penuntut senior dengan ditekap menggunakan seterika selepas mangsa diminta menggosok baju miliknya.
Rentetan daripada insiden itu, mangsa membuat laporan polis pada 1 November lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan keterangan mangsa juga sudah direkodkan polis.
Pada 8 November lalu, tertuduh, Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22,didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.
Pegawai kadet itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada jam 11.45 malam di ALK UPNM di Kem Sungai Besi. – MalaysiaGazette