File picture

BAHASA Melayu adalah bahasa yang indah, kaya dengan sejarah dan warisan. Ia mencerminkan identiti bangsa Malaysia, menghubungkan kita dengan akar budaya dan tamadun Nusantara. Namun, apabila Menteri Pendidikan menggesa masyarakat untuk menerima “perkataan baharu” dengan alasan bahasa Melayu adalah “bahasa hidup, (‘living language’), persoalan yang timbul adalah – adakah kita benar-benar memelihara bahasa kita, atau sengaja menimbulkan kekeliruan yang tidak munasabah?

Maksud “bahasa hidup” ialah bahasa yang terus berkembang mengikut zaman. Namun, bukankah perkembangan itu seharusnya berlaku secara organik, tanpa paksaan? Menurut Menteri, masyarakat kini“mula menerima” perkataan seperti peluncuran (menggantikan pelancaran) dan katimbang (menggantikan daripada). Siapakah sebenarnya yang menerima perkataan sebegini? Masyarakat atau pegawai yang terpaksa menuruti arahan atasan semasa acara rasmi? Realitinya, perkataan sebegini menganggu kefasihan bahasa dan pemahaman masyarakat.

Mengambil contoh katimbang, ia bukan sahaja menggantikan perkataan yang lebih biasa digunakan (daripada), tetapi juga menimbulkan kerumitan. Sama juga dengan peluncuran – kenapa perlu menggantikan pelancaran yang sudah sempurna dan luas penggunaannya? Apa manfaatnya? Adakah ia mempermudah komunikasi? Atau hanya menjadikan bahasa Melayu bahan jenaka apabila penggunaannya kelihatan janggal? Sebagai contoh, saya boleh bayangkan berkataan ‘purbasangka’ akan diajuk-diajukkan ‘saya sangkakan awak orang purba’.

Sebilangan perkataan yang disenaraikan seperti intiha, mahsul, purbasangka, dan taakul, memang berasal dari akar kata yang klasik, tetapi adakah ia benar-benar membawa nilai tambah? Bahasa Melayu sememangnya kaya dengan kosa kata asal yang mencukupi untuk menyampaikan maksud-maksud tersebut. Contohnya, intiha (pengakhiran) dan mahsul (hasil) sudah ada padanannya dalam perkataan yang lebih dikenali seperti penutup dan hasil tuaian. Memperkenalkan perkataan baharu yang tidak sepadan dengan penggunaan semasa tidak membantu perkembangan bahasa tetapi sebaliknya mencipta kekeliruan.

Pakar bahasa seperti Datuk Dr Hassan Ahmad dan Prof Emeritus Dr Shamsul Amri Baharuddin sering menekankan pengayaan bahasa tidak boleh dilakukan secara sembarangan. Menurut mereka, usaha memperkayakan bahasa Melayu perlu mengambil kira penerimaan pengguna, kesesuaian konteks, dan keberkesanan dalam memperjelaskan makna. Bahasa yang berkembang adalah bahasa yang mendekati pengguna, bukan menjauhkan pengguna.

YB Menteri mungkin berniat untuk memodenkan bahasa melalui pembaharuan kosa kata, tetapi terdapat jurang besar antara niat dan pelaksanaan. Memaksa penggunaan perkataan baharu tanpa kajian mendalam hanya menghasilkan kejumudan. Misalnya, walhasil (kesannya) dan tatanan (sistem) adalah perkataan yang sudah jarang atau tidak pernah digunakan dalam percakapan moden, tetapi kini dikitar semula dengan makna yang kononnya lebih “rasmi.” Apakah ini benar-benar melestarikan bahasa atau hanya usaha sia-sia untuk kelihatan “progresif”?

Pada masa ini, generasi muda Malaysia sudah berdepan cabaran memartabatkan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing lain sering menjadi keutamaan kerana dianggap lebih penting dalam era globalisasi. Menambahkan kekeliruan melalui kosa kata baharu yang janggal hanya menjauhkan lagi generasi muda daripada bahasa Kebangsaan.

Daripada memperkenalkan perkataan baharu yang tidak diperlukan, usaha sepatutnya ditumpukan kepada memperkasakan pengajaran bahasa Melayu melalui pendekatan yang praktikal dan menarik.

Misalnya, memperkenalkan peribahasa, sajak, dan karya agung dalam pendidikan, atau mendorong penggunaan Bahasa Melayu yang kreatif melalui media digital. Bahasa adalah alat komunikasi, bukan platform untuk mencipta kekeliruan.

Bahasa Melayu sememangnya hidup, tetapi perkembangannya harus berdasarkan keperluan, relevansi, dan penerimaan masyarakat.

Perubahan secara paksa bukan sahaja mencetuskan kekeliruan tetapi juga merendahkan keindahan dan kefungsian bahasa itu sendiri. YB Menteri Pendidikan harus mengambil pendekatan yang lebih pragmatik, mendengar pandangan pakar bahasa dan masyarakat, dan memastikan setiap pembaharuan dilakukan dengan teliti dan berasas.

Sebagai bangsa Malaysia, kita harus mempertahankan bahasa Melayu daripada dilihat sebagai bahan eksperimen. Bahasa kita bukanlah permainan linguistik untuk dipertaruhkan. Ia adalah identiti, akar budaya, dan masa depan kita – yang hanya dapat terus hidup jika ia difahami, dihargai, dan diterima secara semula jadi oleh setiap generasi.

Saya sememangnya bukan pakar bahasa, tetapi sering menimba ilmu dengan pembacaan  dan seorang pengamal komunikasi yang berpengalaman. Dalam komunikasi, pendekatannya amat jelas: memastikan mesej difahami dan diterima oleh khalayak. Memperkenalkan perkataan yang mengelirukan hanya untuk memenuhi kepuasan diri atau tujuan ‘feel good’ adalah satu tindakan yang amat merugikan. Bahasa Melayu sepatutnya menyatukan dan mendidik, bukan untuk memisahkan dan mengelirukan masyarakat.

 

 

Prof. Mohd Said Bani Che Mat Din
Penulis seorang pakar komunikasi dan pendukung tegar Bahasa Kebangsaan serta warisan negara, dengan pengalaman luas dalam menyampaikan mesej yang jelas, berkesan, dan bermakna kepada masyarakat dari pelbagai latar belakang.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast