Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan saman pemula bagi menuntut perisytiharan agar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengosongkan lima kerusi Parlimen milik wakil rakyat yang dipecat parti itu.

Tindakan saman itu difailkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Naib Presiden Bersatu yang juga Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku plaintif.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Co. pada 15 November lalu.

Parti itu menamakan Johari serta lima Ahli Parlimen iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) sebagai defendan pertama hingga keenam.

Dalam pada itu, semakan sistem mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 29 November ini.

Dalam saman itu, kedua-dua plaintif memohon satu deklarasi bahawa defendan pertama (Johari) melalui surat bertarikh 9 Julai lalu telah bertindak menyalahi Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan bahawa tidak berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen itu.

Plaintif-plaintif memohon deklarasi bahawa Johari perlu mematuhi peruntukan tersebut dengan memastikan bahawa telah berlaku kekosongan luar jangka dan perlu memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang kekosongan tersebut dalam tempoh 21 hari dari perintah mahkamah.

Kedua-dua plaintif turut memohon satu deklarasi bahawa di bawah Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan, peranan dan tanggungjawab defendan pertama adalah untuk memastikan defendan kedua hingga keenam tidak lagi menjadi ahli parti politik Bersatu.

Turut dipohon, satu deklarasi bahawa di bawah Fasal 10.6 Perlembagaan Bersatu, notis bahawa keahlian seseorang ahli Bersatu telah terhenti sepertimana diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan ia tidak boleh dipertikaikan oleh defendan pertama.

Berdasarkan afidavit sokongan bagi saman itu, Ronald berkata defendan kedua hingga keenam telah dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Kesemua mereka ketika itu adalah ahli Bersatu manakala parti itu atau Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak menyertai Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 dan kekal sebagai pembangkang.

Menurut Ronald, bermula dari 12 Oktober 2023, defendan kedua hingga keenam telah mengalihkan sokongan mereka kepada Anwar dan pihak kerajaan dan ini jelas melanggar ketetapan Bersatu untuk tidak menyokong atau menyertai kerajaan yang diterajui Anwar.

“Walaupun defendan kedua hingga keenam mengakui masih menjadi ahli Bersatu, ia adalah perbuatan ‘lompat parti’ dan mereka memanipulasikan peruntukan undang-undang anti lompat parti dengan mengambil kesempatan untuk tidak meninggalkan parti walaupun tindakan mereka jelas melanggar dasar parti,” kata Ahli Parlimen Beluran itu.

Ronald berkata pada 17 Mei lalu, MPT Bersatu telah mengeluarkan arahan khusus secara bertulis di bawah Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu kepada defendan kedua hingga keenam antara lain perlu menarik balik sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Defendan kedua hingga keenam juga perlu menyatakan hal tersebut secara bertulis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, mematuhi apa jua dasar, ketetapan dan arahan yang diputuskan oleh MPT Bersatu, menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti Bersatu, mendukung serta bersikap setia kepada perjuangan parti itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya defendan kedua hingga keenam telah cuai, gagal dan enggan untuk mematuhi arahan tersebut dan pada 12 Jun lalu, Bersatu telah mengeluarkan notis memaklumkan bahawa keahlian mereka telah terhenti secara serta merta dan nama mereka telah dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti itu menurut Fasal 10. 6 Perlembagaan Bersatu. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast