Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad hadir untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd. ketika di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 18 NOVEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad diperintah oleh Mahkamah Rayuan untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 yang melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan masing-masing.

Oleh yang demikian, koram berkenaan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Panel itu kemudian menetapkan 5 Disember ini bagi sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Mohamed Zaini berkata, isu kritikal yang dibangkitkan dalam rayuan adalah sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa menyemak dapatan prima facie yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

Beliau menegaskan, Bung Moktar dan Zizie Izzete tidak boleh menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri.

Ujar hakim itu, ini kerana dapatan mahkamah pada peringkat itu tidak tertakluk kepada rayuan kerana ia bukan resolusi muktamad terhadap hak tertuduh.

“Perbicaraan mesti diteruskan bagi membolehkan kedua-duanya mengemukakan pembelaan yang adil. Permohonan semakan sebenarnya adalah isu interlokutori yang hanya boleh dicabar dalam prosiding rayuan selepas perbicaraan di peringkat pembelaan, selesai,” ujar beliau.

Hakim Mohamed Zaini turut menambah, keputusan hakim Mahkamah Sesyen adalah ringkas dan tidak memerlukan alasan yang komprehensif ketika menyampaikan keputusannya.

Menurut beliau, hakim Mahkamah Sesyen sebenarnya tidak mempunyai kewajipan untuk memberikan apa-apa alasan ketika memerintahkan kedua-duanya membela diri.

“Alasan hanya wajar diberikan pada akhir kes pembelaan ketika mensabit atau membebaskan tertuduh,” ujarnya.

Hakim Mohamed Zaini selanjutnya menegaskan, keputusan hakim Mahkamah Tinggi tidak mengandungi alasan material yang mencukupi ketika membenarkan permohonan semakan.

Beliau berpendapat, perbicaraan yang adil turut terpakai kepada pihak pendakwaan dan keputusan membenarkan permohonan semakan ke atas keputusan prima facie hanya akan mengganggu perbicaraan.

“Ia akan mewujudkan situasi yang mana mahkamah akan menerima banyak permohonan apabila setiap pihak merayu terhadap perintah yang dibuat semasa perbicaraan belum selesai.

“Ini akan menggagalkan proses perbicaraan yang akan membuang masa kehakiman yang berharga dan perbelanjaan awam, ini mesti dihentikan,” ujar beliau.

Semasa prosiding pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Maziah Mohaide berhujah bagi pihak perayu manakala peguam M. Athimulan, Datuk Seri K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri masing-masing mewakili Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya selaku responden.

Bung Moktar dan isterinya dibebaskan pada 7 September 2023 setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan mereka. Kedua-duanya dihadapkan ke mahkamah pada 3 Mei 2019.

Kedua-duanya memohon menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan.

Bung Moktar, 65, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 47, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast