Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

PUTRAJAYA – Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengembalikan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas melibatkan dakwaan salah guna kuasa ditangguhkan kali kedua selepas salah seorang hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar prosiding itu.

Hakim Datuk Faizah Jamaludin menarik diri selepas memaklumkan suaminya pernah berkhidmat dengan syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun suaminya telah bersara setahun lalu.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hashim Hamzah yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin menetapkan 3 Disember ini bagi pengurusan kes.

Laporan sebuah portal pada Julai 2018 menyebut, Datuk Mohammad Faiz Azmi dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa eksekutif (Exco) yang merupakan sebahagian daripada skop dan perkhidmatan yang disediakan oleh PwC kepada 1MDB.

Laporan itu berkata, PwC membantu lembaga pengarah dan exco dalam mendapatkan semula aset 1MDB dan menguruskan hutang syarikat.

Terdahulu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib mengemukakan permohonan lisan agar Hakim Faizah menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut.

Menurut peguam itu, suami hakim berkenaan pernah berkhidmat dengan PwC iaitu syarikat yang terlibat dengan pemulihan aset dan pengurusan hutang 1MDB.

Sementara itu, peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Tommy berkata, meskipun beliau tidak nampak apa kaitan isu pemulihan aset dengan kes saman terhadap anak guam, pihaknya tidak membantah permohonan itu demi keadilan.

Faizah merupakan hakim kedua yang menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan.

Pada Oktober 2023, Datuk Azizah Nawawi menarik diri kerana suaminya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman merupakan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika Tommy berjawatan Peguam Negara.

Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 November 2022 yang membatalkan saman berkenaan selepas mendapati tuntutan saman Najib adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Najib memfailkan saman itu pada 22 Oktober 2021 dan mendakwa, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Bekas Perdana Menteri mendakwa beliau telah dituduh secara salah dalam kes membabitkan 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau memohon satu deklarasi bahawa Tommy telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan menuntut ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here