KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad sedih kerana ramai orang bercakap dan menulis tentang sumbangan Tun Daim Zainuddin kepada negara selepas kematian kawannya.
“Ia menyedihkan. Dia terpaksa mati dahulu. Malah mereka yang dia tunjuk ajar mengenai kewangan tidak menghargainya. Mati dulu,” katanya dalam hantarannya di Facebook.
Bercerita mengenai Allahyarham, Dr. Mahathir berkata, Daim merupakan individu yang kaya semasa beliau menjadi perdana menteri pada tahun 1981.
Katanya, Daim ‘membuat’ wang dengan membangunkan projek Maluri di atas tanah seluas 160 ekar, walaupun pernah ‘hilang’ duit dalam perniagan garam.
Bekas perdana menteri itu berkata, dia dibayar sebanyak RM8,000 setiap bulan sebagai perdana menteri pada tahun 1981 dan sebagai menteri kewangan sudah tentu gaji Daim kurang daripadanya.
Katanya, untuk menjadi menteri, individu yang dilantik menjadi menteri perlu berhenti berniaga, sekali gus tidak boleh menjana wang.
”Jadi Daim sebagai menteri kewangan dari tahun 1984 hingga 1991 pasti telah kehilangan banyak wang,” ujarnya.
Namun, katanya, masih ada yang percaya Daim masih ‘membuat’ wang ketika menjadi menteri.
Dr. Mahathir berkata, Daim cuba merealisasian Dasar Ekonomi Baru(DEB) sebelum dia menjadi menteri lagi.
Pada pandangan Daim, untuk mengejar orang kaya Malaysia anda tidak boleh bermula dengan menjual tom yam atau pisang goreng di tepi jalan.
“Daim mahu orang Melayu bermula dari atas, lantaran itu beliau memilih beberapa anak muda Melayu. Mereka ini tidak mempunyai pengalaman perniagaan, tiada modal, tiada kemahiran pengurusan.
“Untuk bermula dari atas dia bagi projek kerajaan, kontrak, lesen dll. Adakah ini salah guna kuasa? Jika bukan kerajaan, siapa?
“Sektor swasta!! Adakah orang kaya swasta akan memberikan kontrak kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak dikenali. Tidak boleh!,” tambahnya.
Jadi, kata Dr. Mahathir, jika buka kerajaan melakukannya, sudah tentu tidak ada perniagaan besar Melayu untuk mengejar mereka yang sudah kaya.
“Untuk berkembang daripada menjual tom yam dan pisang goreng menjadi jutawan akan mengambil masa bertahun-tahun.
“DEB tidak akan tercapai. Malah jurang perbezaan akan menjadi lebih besar.
“Tetapi kenapa orang yang Daim pilih. Kenapa tidak orang lain? Pilih orang lain, tuduhan yang sama. Adakah dia akan dipuji? Tidak,” tambahnya.
Dr. Mahathir tidak menafikan ramai individu yang dipilih, dilatih dan beri peluang oleh Daim gagal.
Bagaimanapun, mereka ini tidak dilabel sebagai kroni.
Secara sinis, Dr. Mahathir berkata: “Jadi, jika anda ingin mengelak daripada dituduh menyalahgunakan kuasa, buat semua yang anda pilih gagal.
Dan apabila mereka gagal, DEB akan gagal, jurang akan meningkat.
Sebenarnya inilah yang ingin dilihat oleh pengkritik Daim, kata Dr. Mahathir.
Mereka suka melihat yang kaya bertambah kaya dan yang miskin semakin miskin.
“Ya, DEB bukanlah satu kejayaan yang besar. Tetapi sekurang-kurangnya beberapa orang Melayu berjaya.
“Jika tiada yang berjaya langsung, Malaysia tidak akan stabil. Tidak akan menjadi seperti hari ini.
“Ya, idea Daim tidak berjaya seperti yang dia jangkakan. Tetapi fikirkan. Bagaimana jika Daim hanya menumpukan pada memperkayakan dirinya.
“Dia akan bernilai RM50 bilion hari ini. Tetapi sudah tentu, dia akan diburu oleh orang yang sama, orang yang dia bantu,” katanya penuh makna. – MalaysiaGazette