SEOUL – Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan hari ini mengesahkan pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol, sekali gus menyingkirkan beliau secara rasmi daripada jawatannya.
Sehubungan itu, Korea Selatan kini perlu mengadakan pilihan raya tergempar dalam tempoh 60 hari bagi memilih pengganti Suk Yeol.
Memetika laporan berita antarabangsa, Mahkamah Perlembagaan itu mendapati keputusan Suk Yeol untuk mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember tahun lalu, yang mencetuskan ketidakstabilan dan krisis politik, tidak mempunyai justifikasi yang kukuh.
Hakim Mahkamah Perlembagaan, Moon Hyung-bae berkata, negara itu tidak berada dalam keadaan darurat ketika itu.
“Ia adalah situasi yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara lain tanpa melibatkan pengerahan tentera,” tambahnya seperti dipetik portal Independent, hari ini.
Sementara itu, Peguam Suk Yeol, Yoon Gap-geun, mengecam keputusan mahkamah itu dan menyifatkannya sebagai `tidak adil’.
Katanya, keseluruhan proses perbicaraan itu sendiri tidak sah dan berat sebelah, dengan keputusan tersebut langsung tidak boleh diterima dari sudut perundangan.
“Kita berasa amat kesal kerana keputusan ini jelas merupakan keputusan politik,” katanya.
Pada Januari lalu, Suk Yeol ditahan dan didakwa atas tuduhan pemberontakan jenayah, tetapi dibebaskan bulan lalu selepas mahkamah daerah Seoul membatalkan penahanannya dan membenarkan beliau dibicarakan tanpa tahanan fizikal.
Suk Yeol bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan mendakwa pengisytiharan undang-undang tentera itu hanya bertujuan memberi amaran kepada parti pembangkang utama atas apa yang beliau sifatkan sebagai penyalahgunaan kuasa legislatif.
Semantara itu, Pemangku Presiden, Han Duck-soo menggesa rakyat menerima keputusan mahkamah dengan tenang, sambil meminta ahli politik untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan keganasan. – MalaysiaGazette
















