KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Allahyarham Tun Daim Zainuddin daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta setelah pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pertuduhan terhadap bekas Menteri Kewangan itu.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Wan Shaharuddin berkata, pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan kes berkenaan ekoran kematiannya.
“Ini takdirnya, Daim sudah meninggal dan kami berlapang dada. Pihak-pihak tidak perlu mendapatkan tarikh lain, tidak perlu membuang masa, kita `move on’ sahaja,” ujar Wan Shaharuddin sambil merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.
Ketika membenarkan permohonan itu, Azura juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Daim selain memerintahkan wang jaminan RM280,000 dikembalikan kepada penjamin.
Allahyarham meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini pada 13 November lalu pada usia 86 tahun ketika menerima rawatan.
Terdahulu, Wan Shaharuddin memaklumkan pihaknya tidak akan meneruskan prosiding kerana ‘tuan tubuh’ selaku tertuduh yang dinamakan dalam pertuduhan, sudah meninggal dunia.
Ujar beliau, pihaknya turut menerima surat daripada pihak pembelaan yang membantah hasrat pendakwaan untuk memberhentikan prosiding.
“Namun bantahan itu bertentangan dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pendakwa raya untuk meneruskan atau memberhentikan prosiding,” katanya.
Pada peringkat itu, peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar yang mewakili Daim menarik perhatian mahkamah bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya wajar diteruskan.
Ujar beliau, pihak pendakwaan perlu mengemukakan saksi-saksi pendakwaan bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan sama ada wujud kes prima facie atau sebaliknya.
Tambah beliau, pihak pembelaan berpendirian prosiding tidak wajar dihentikan dengan mengambil kira hasrat Allahyarham ketika masih hidup yang mahukan namanya dibersihkan daripada pertuduhan.
“Jika perbicaraan dihentikan, Tun Daim tidak akan dapat membuktikan bahawa beliau tidak bersalah walhal beliau seorang yang dikenali dalam masyarakat, kesudahannya pertuduhan akan ‘tergantung’ begitu sahaja.
“Setakat ini tidak terdapat kes undang-undang secara langsung yang menjelaskan situasi yang akan berlaku dalam keadaan seseorang yang telah didakwa, kemudian meninggal dunia sebelum perbicaraan bermula.
“Peruntukan yang ada kini hanya melibatkan tertuduh yang melarikan diri, namun keadaan tersebut tidak berlaku dalam kes ini,” ujarnya.
Pada prosididing itu, mahkamah turut membatalkan permohonan pihak pendakwaan untuk menilai tahap mental Daim setelah Wan Shaharuddin menarik balik permohonan tersebut.
Terdahulu, Gurdial mempertikai permohonan yang dikemukakan di bawah Seksyen 342 kanun itu atas alasan anak guamnya sudah meninggal dunia.
“Saya hairan kerana mereka seolah-olah ingin meneruskan permohonan tersebut walhal Tun Daim sudah tiada,” ujar beliau.
Pada 29 Januari lalu, Allahyarham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah ibu negara.
Harta itu termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
untung lah . banyak harta syubhat dah jadi halal . waris akan farosd beramai-ramai. alhamdulillah untok pengajaran orang lain yang banyak kes begini mati lah cepat . kes akan selesai . harta selamat