KUALA LUMPUR – Tidak hanya bersandarkan rupa dan perkongsian menarik namun kepintaran juga menjadi tarikan buat segelintir pencipta kandungan serta pempengaruh mengumpul pengikut di laman sosial.
Bagi selebriti dan pempengaruh media sosial, Ustaz Abdullah Abdol Razak, kelulusan akademik perlu diutamakan kerana ia membuka lebih banyak peluang selain membuatkan golongan itu lebih dihormati serta mendapat kepercayaan.
Lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Lah, kata beliau, dalam erti kata lain, pempengaruh tidak hanya popular namun perlu tampil dengan pakej sebagai pencipta kandungan berilmu.
“Bukan sahaja pempengaruh tetapi masyarakat amnya agar tidak berhenti menuntut ilmu dan tuntutlah ilmu dan persiapkan diri dengan pendidikan setinggi yang mampu agar kita boleh memberi input yang baik kepada orang ramai.
“Dengan ilmu, kita boleh mendidik dan menjadikan masyarakat kita golongan yang hebat,” katanya yang kini memiliki satu juta pengikut di semua platform media sosial.
Beliau baru-baru ini berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Fakulti Komtemporari Islam dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam tempoh tiga tahun setengah.
Ustaz Lah sedar kerjaya sebagai pencipta kandungan sekadar bermusim dan atas faktor itu turut membina platform bisnes bagi memastikan kedudukannya terus stabil.
Pada masa sama, beliau mengukuhkan jenama sebagai pempengaruh berilmu dengan menggenggam PhD bagi memberi contoh pempengaruh wajib ada ilmu.
“Saya mahu membetulkan stereotaip bahawa menjadi content creator juga perlu ada ilmu dan itu yang membuatkan saya sangat bersemangat untuk menamatkan PhD kerana hari ini rata-rata menyatakan tidak perlu belajar tinggi, cukup dengan menjadi influencer boleh jadi kaya.
“Ramai generasi muda yang sudah tidak berminat untuk menyambung pengajian kerana bagi mereka wang adalah semata-mata kerana tontontan tinggi adalah ‘kehidupan’ mereka.
“Saya mahu memberikan kesan bahawa pendidikan adalah satu perkara yang sangat utama, ia teras kehidupan. Malah Nabi Muhammad SAW juga mengajar bahawa dalam al-Quran, perkara pertama yang diajar ialah Iqra.
“Mungkin ada yang tidak berpeluang menyambung PhD pun mereka perlu belajar dan menuntut ilmu di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Mengulas akan kejayaannya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh tiga tahun setengah, jelas Ustaz Lah sebagai pempengaruh harus memberikan impak positif terhadap pengikut.
Ini kerana beliau mahu ilmu agama yang disampaikan perlu tepat dan mengikut landasan al-Quran dan sunnah bukan disampaikan secara semberono.
“Sebelum ini saya menamatkan pengajian sarjana muda di Jordan dan pengajian Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Saya memilih UniSZA kerana universiti yang dikenali kerana menawarkan pengajian Islam yang sangat bagus dan harus menjaga jenama universiti kerana memegang status Doktor Falsafah UniSZA,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam turut menyarankan para pempengaruh mahu pun pencipta kandungan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kerana kerjaya itu dianggap ikon masyarakat yang menjadi ikutan pada masa kini. – MalaysiaGazette